Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja Boeing pilih mogok, tolak tawaran kontrak

Sep 13, 2024 | 4:38 PM
Pekerja Boeing di kilangnya di wilayah Washington menolak tawaran kontrak dan mengundi untuk mogok pada 13 September
Pekerja Boeing di kilangnya di wilayah Washington menolak tawaran kontrak dan mengundi untuk mogok pada 13 September - Foto REUTERS

CHICAGO: Pekerja kilang Boeing sedia berhenti kerja dan melumpuhkan pembuatan pesawat di seluruh hab jet komersial Seattle.

Ini selepas ahli kesatuan terbesarnya menolak tawaran kontrak dan mengundi untuk mogok.

Pemberhentian itu, yang mula pada 13 September, adalah yang pertama sejak 2008 oleh daerah Persatuan Jurumesin dan Pekerja Aeroangkasa Antarabangsa (IAM) yang mewakili 33,000 pekerja Boeing di seluruh Pantai Barat Amerika Syarikat.

Ia menambah tekanan pada pembuat pesawat, yang menghadapi kesusahan akibat kejatuhan kualiti selepas bencana yang hampir terjadi pada awal 2024 mengakibatkan penyiasatan, bantahan pelanggan dan perubahan eksekutif.

Para anggota tidak mengendahkan rayuan keamanan oleh ketua pegawai eksekutif Boeing yang baru, Encik Kelly Ortberg, yang telah berikrar akan menyusun semula hubungan buruh.

Mereka juga menentang saranan pemimpin kesatuan mereka sendiri bahawa mereka menerima syarat termasuk kenaikan gaji 25 peratus yang dijamin dalam tempoh empat tahun.

Walaupun itu adalah kenaikan gaji terbesar pernah ditawarkan oleh pembuat pesawat itu, pekerja menjangkakan kenaikan jauh lebih besar.

Mereka juga marah kerana syarat itu juga menghapuskan bonus tahunan.

Walaupun kepimpinan IAM telah mencadangkan agar anggotanya menerima kontrak itu, pada 8 September, ramai pekerja bertindak dengan marah menuntut kenaikan gaji 40 peratus yang dijanjikan sebelumnya dan merungut kehilangan bonus tahunan.

Boeing telah berada dalam masalah kewangan sejak kemalangan 5 Januari yang mendedahkan kekurangan di kilangnya dan memaksa pembuat pesawat itu mengurangkan pengeluaran.

Akibatnya, syarikat itu kehilangan aliran tunai dan ini meletakkan pembuat pesawat itu dalam kedudukan sukar kerana ia berdepan dengan beban hutang sebanyak AS$45 bilion ($58.6 bilion).

Kekalahan di tangan pekerja bermakna Boeing dan IAM District 751 perlu kembali ke meja rundingan untuk cuba mencari syarat yang memuaskan ahli kesatuan yang mempunyai sejarah aktivisme yang panjang.

Mogok akan menghentikan pengeluaran Boeing 737 MAX, jet terlarisnya, dan pada masa yang sama pembuat pesawat itu bergelut dengan kelewatan pengeluaran yang kronik dan hutang yang semakin meningkat.

Encik Cai von Rumohr, penganalisis di TD Cowen, menganggarkan mogok boleh berlanjutan lebih 50 hari, sejajar dengan mogok sebelumnya, menjejas antara AS$3 bilion dan AS$3.5 bilion daripada aliran tunai Boeing.

Boeing berkata tawarannya adalah yang terbaik yang boleh dikemukakan memandangkan kewangannya juga tertekan.

Syarikat itu belum menyatakan cara ia akan bertindak, namun para pengurus telah berusaha merayu pekerja lain minggu ini untuk melihat sama ada mereka mempunyai kemahiran untuk menggantikan anggota IAM yang mogok buat sementara waktu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg