Firma elektronik tempatan, Creative Technology, telah memberhentikan sekitar 40 kakitangan, atau 14 peratus daripada tenaga kerjanya, ketika gelombang pemberhentian kerja melibatkan firma teknologi sedunia.
Mengesahkan langkah pemberhentian itu, jurucakap syarikat itu berkata:
“Creative Technology telah mengambil keputusan untuk menyusun semula beberapa bahagian perniagaannya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berkembang.
“Sebagai sebahagian langkah transformasi ini, ia perlu memberhentikan kakitangan.”
Jurucakap itu, bagaimanapun, enggan mengesahkan jumlah kakitangan yang terjejas dan sama ada mereka semua berada di Singapura.
Menurut laman web korporatnya, Creative mempunyai lebih 280 pekerja di seluruh dunia, hanya sebahagian kecil daripada saiz tenaga kerja syarikat itu semasa tahun-tahun kerancakannya pada 2000-an.
The Straits Times (ST) difahamkan bahawa penyusunan semula itu menjejas beberapa jabatan, termasuk jualan dan pemasaran.
“Keputusan itu tidak dibuat dengan mudah kerana pekerja kami telah menjadi nadi kepada syarikat kami, dan kami amat menghargai kerja keras, dedikasi dan semangat yang telah mereka bawa kepada pertubuhan kami,” kata jurucakap itu.
Beliau menambah firma itu akan menyokong kakitangan yang terjejas melalui langkah pemberhentian kerja, yang dijalankan selaras dengan garis panduan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
“Kami percaya penyusunan semula ini akan membolehkan kami membina masa depan lebih kukuh dan mampan; bagi memastikan kejayaan jangka panjang untuk syarikat kami, pekerja kami dan pelanggan kami.
“Kami komited untuk berusaha mengembalikan Creative pada trajektori yang mampan,” katanya.
Bagi enam bulan pertama tahun fiskalnya yang berakhir pada 31 Disember 2024, kerugian bersih Creative meningkat kepada AS$6.1 juta ($8.1 juta) daripada AS$4.1 juta pada tempoh setahun lalu (2023).
Ini walaupun jualan bersih lebih tinggi sebanyak AS$37.4 juta, meningkat 18 peratus daripada AS$31.8 juta pada tempoh setahun lalu itu, daripada penjualan produk audio baru, termasuk fon telinga dan fon kepala Super X-Fi.
Kumpulan itu telah memberi amaran bahawa ketidakpastian mengenai tarif import yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, serta langkah tindak balas yang berpotensi dari negara yang terjejas, boleh meningkatkan tekanan inflasi dan menjejas permintaan pengguna.
Pemberhentian kerja oleh Creative itu sejajar dengan trend melibatkan firma teknologi sedunia, yang bermula pada 2022.
Menurut angka daripada laman webLayoffs.fyi, yang menjejaki pemberhentian kerja dalam perusahaan teknologi, ratusan ribu kakitangan dalam firma teknologi telah diberhentikan sejak 2022.
Pada 2024, 548 firma teknologi telah membuang lebih 150,000 pekerja.
Dalam dua bulan pertama 2025 sahaja, lebih 13,300 di seluruh dunia kehilangan pekerjaan.
Mereka yang terjejas termasuk pekerja di Meta, TikTok, Dyson, Microsoft dan Google, yang sebahagiannya berpangkalan di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg