Singapore Post (SingPost) akan memberhentikan kira-kira 45 pekerja dalam beberapa bulan akan datang, sebagai sebahagian usaha mengurangkan operasi dan membolehkan unit perniagaannya mengambil lebih banyak fungsi korporat, katanya dalam satu kenyataan.
Langkah itu menjejas jawatan terutamanya dalam unit sokongan korporat, kata jurucakap SingPost kepada The Straits Times (ST).
“Sebilangan kecil” kakitangan daripada unit perniagaan antarabangsanya juga akan terjejas kerana peranan itu telah berkembang.
Unit itu terlibat dalam satu insiden pemberi maklumat yang membawa kepada pemecatan tiga eksekutif kanan syarikat tersebut.
Tetapi jurucakap itu berkata pemberhentian tersebut “tidak berkait dengan mana-mana insiden atau laporan pemberi maklumat sebelumnya”.
Pembekal perkhidmatan pos itu memberhentikan bekas ketua eksekutif kumpulannya dan dua lagi eksekutif kanan pada Disember 2024 kerana pemalsuan data penghantaran e-dagang, dan kelakuan seterusnya eksekutif kanan tersebut dalam mengendalikan laporan pemberi maklumat mengenai pemalsuan tersebut.
Jurucakap SingPost berkata penyusunan semula itu adalah akibat cabaran makroekonomi yang berpanjangan yang dihadapi perniagaan itu, termasuk persaingan sengit.
“Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan keupayaan operasi unit perniagaan dengan menghapuskan fungsi berlebihan, dan meningkatkan ketangkasan dan kecekapan perniagaan,” kata jurucakap itu.
Difahamkan bahawa pekerja yang akan diberhentikan itu sedang dimaklumkan secara berperingkat.
Jurucakap itu berkata keputusan tersebut tidak dipandang ringan, sambil menambah: “Bagi peranan yang terjejas, syarikat ini telah kehabisan pilihan untuk mencari jawatan alternatif dalam SingPost.”
Semua kakitangan terjejas mempunyai akses kepada perkhidmatan penempatan pekerjaan dan kaunseling pada masa ini, kata jurucakap itu.
Syarikat itu kini bekerjasama dengan Kesatuan Pekerja Telekom Singapura (Utes), yang dianggotai pekerja SingPost, untuk membantu pekerja terjejas mencari pekerjaan baru.
Menjawab pertanyaan ST, setiausaha agung Utes, Encik Thuvinder Singh, berkata kesatuan itu telah dimaklumkan mengenai pemberhentian tersebut oleh SingPost terlebih dahulu, dan mendapat jaminan bahawa semua pilihan alternatif, termasuk penempatan semula ke jawatan lain yang sesuai, telah diterokai.
Beliau menambah bahawa kesatuan itu bekerjasama dengan SingPost untuk memastikan ahli dan pekerja terjejas ditawarkan pakej pampasan adil selaras dengan Nasihat Tiga Pihak mengenai Pengurusan Tenaga Kerja Berlebihan dan Pemberhentian Kerja Bertanggungjawab, dan disediakan dengan sokongan yang diperlukan dalam peralihan kepada pekerjaan seterusnya.
Encik Thuvinder juga berkata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Utes akan menawarkan sumber pemadanan pekerjaan dan nasihat kerjaya kepada pekerja diberhentikan.
Ini termasuk menyediakan akses kepada satu rangkaian besar yang merangkumi syarikat, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC (e2i) dan, bagi yang perlu meningkatkan kemahiran mereka, penyedia pendidikan berterusan NTUC LearningHub.
Secara lebih luas, pekerja terjejas boleh melayari www.e2i.com.sg untuk mengetahui lebih lanjut mengenai khidmat nasihat kerjaya dan kemudahan pekerjaan yang ditawarkan oleh e2i, tambahnya.
Ahli kesatuan boleh menghubungi Utes melalui e-mel di membership@utes.org.sg, atau melalui telefon di 6337-1122 semasa waktu bekerja dari Isnin hingga Jumaat untuk mendapatkan bantuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg