Ekon berkembang, pekerjaan tidak lagi terjamin: Kemahiran jadi penentu masa depan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekon berkembang, pekerjaan tidak lagi terjamin: Kemahiran jadi penentu masa depan

Saktiandi: Kemahiran pekerja perlu kekal relevan dengan sektor nilai tinggi serta yang dipacu teknologi, kecerdasan buatan (AI)
Mar 4, 2026 | 1:24 PM

Ekon berkembang, pekerjaan tidak lagi terjamin: Kemahiran jadi penentu masa depan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kemahiran, pekerjaan, ekonomi digital
Dengan penciptaan pekerjaan yang mungkin tidak begitu tinggi berbanding dahulu, meskipun dalam keadaan pertumbuhan ekonomi, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat (kanan), berkata sokongan bagi memperkukuh keupayaan pekerja menyesuaikan diri termasuk dalam membuat peralihan kerjaya adalah amat penting. Bersama beliau dalam podcast BHerbual ialah Koresponden, Encik Anwar Saleh (kiri) dan Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin (dua dari kiri).  - Foto BH oleh KHALID BABA

Pekerja perlu menggandakan usaha agar kemahiran mereka kekal relevan dengan sektor berkembang – terutamanya sektor nilai tinggi serta yang dipacu teknologi dan kecerdasan buatan (AI) – supaya mereka dapat merebut peluang pekerjaan dalam pasaran yang akan menjadi semakin bersaing.

Ini kerana ekonomi yang berkembang maju tidak lagi menjamin lebih banyak peluang pekerjaan secara automatik.

Dalam landskap global yang semakin berpecah-belah dan tidak menentu, disertai kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) dan automasi, pertumbuhan kini lebih tertumpu kepada nilai tambah berbanding jumlah tenaga kerja.

Demikian ditekankan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, dalam podcast BHerbual Berita Harian baru-baru ini, semasa diminta mengulas laporan Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang diumumkan pada 30 Januari lalu.

Semasa membentangkan saranan ESR itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut berkata dasar dan strategi ekonomi negara harus mengambil kira bahawa pertumbuhan ekonomi mungkin tidak secara automatik membawa kepada penciptaan pekerjaan.

Encik Saktiandi, juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, berkata konteks ekonomi global hari ini amat berbeza berbanding dekad lalu.

“Situasi yang lalu berbeza... kerana sewaktu itu tidak ada kepincangan dari segi hubungan dagangan dunia,” katanya, merujuk kepada pergeseran hubungan perdagangan dan kecenderungan nasionalisme ekonomi di beberapa negara besar.

Beliau menambah, sebagai hab perdagangan global, Singapura terdedah kepada kesan fragmentasi ini dan perlu mempelbagaikan rangkaian perdagangan serta rantaian bekalan.

Namun, dalam usaha menarik pelaburan dan memperkukuh sektor bernilai tambah tinggi, satu realiti baru muncul – pelaburan besar tidak semestinya membawa kepada pertambahan besar pekerjaan.

Mengulas laporan terkini Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) yang menunjukkan komitmen pelaburan tinggi tetapi penciptaan pekerjaan pada paras terendah dalam dua dekad, Encik Saktiandi berkata:

“Banyak pelaburan itu masuk kepada sektor seperti... farmaseutikal, perkilangan bernilai tinggi dan sektor lain yang lebih kepada automasi dan AI... yang mungkin tidak memerlukan pekerja yang ramai.”

Beliau menjelaskan, Singapura kini berperanan sebagai hab ibu pejabat (HQ) dan pusat nilai tambah tinggi.

Justeru, meskipun jumlah pekerjaan mungkin tidak meningkat dengan ketara, produktiviti dan gaji boleh meningkat.

“Dari segi jumlah, mungkin tidak ramai pekerja tapi dengan syarikat berpangkalan di sini, kita boleh jangkakan produktiviti tinggi... dan gaji juga lebih tinggi,” kata beliau yang dalam kerjaya profesional merupakan Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank.

Sehubungan dengan itu, Encik Saktiandi turut mengingatkan bahawa Singapura kini sebuah ekonomi matang, dengan kadar pertumbuhan lazim antara 1 hingga 3 peratus.

“Untuk mencapai peningkatan perpuluhan 1 peratus untuk Singapura pun... memerlukan lebih banyak pelaburan berbanding dengan negara sedang membangun,” ujarnya.

Berbeza dengan negara membangun yang masih bergantung kepada perkilangan intensif-pekerja, Singapura telah beralih kepada sektor berteknologi tinggi, kewangan, teknologi kewangan (fintech) dan perkhidmatan profesional – sektor yang lebih bersifat pada modal dan teknologi berbanding tenaga kerja.

Namun, keadaan itu menimbulkan persoalan tentang jurang pendapatan dan masa depan kelas pertengahan. Menjawab kebimbangan sama ada peningkatan produktiviti boleh mengecilkan kelas pertengahan, beliau menegaskan:

“Tidak semestinya... kita perlu memperkukuh lagi strategi dan langkah mobiliti sosial kita iaitu pekerja berpendapatan rendah boleh naik ke pendapatan pertengahan dan golongan pertengahan akan terus melihat pendapatan mereka meningkat.

“Kuncinya ialah peningkatan kemahiran. Usaha untuk meningkatkan kemahiran setiap lapisan pekerja kita itu adalah amat penting sekali”.

Justeru, dengan penciptaan pekerjaan yang mungkin tidak begitu tinggi berbanding dahulu, meskipun dalam keadaan pertumbuhan ekonomi, Encik Saktiandi berkata sokongan bagi memperkukuh keupayaan pekerja menyesuaikan diri termasuk dalam membuat peralihan kerjaya adalah amat penting.

“Jumlah peralihan pekerjaan akan meningkat daripada satu sektor ke satu sektor... strategi peralihan kerjaya atau career transition ini perlu dijadikan satu keutamaan dan diperluaskan lagi,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa sokongan peralihan kerjaya tidak boleh terhad kepada golongan tertentu sahaja, tetapi perlu bersifat menyeluruh dan tanpa mengira usia.

“Tidak kira usia... kita perlu menyediakan satu bentuk sokongan tersusun kepada semua pekerja Singapura yang ingin menukar kerjaya,” tekannya.

Dalam pada itu, Encik Saktiandi mengingatkan bahawa strategi ekonomi perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk faktor demografi semakin menua dan kadar kelahiran rendah.

“Demografik kita sudah berkurang. Jadi penciptaan pekerjaan juga tidak perlu terlalu tinggi,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg