Sokongan kos sara hidup bukan sekadar baucar CDC
Menjelang pembentangan Belanjawan, tumpuan sebahagian rakyat sering tertumpu kepada sokongan menerusi pemindahan tunai dan baucar seperti baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Namun Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, menarik perhatian bahawa sokongan pemerintah dalam menangani kos sara hidup lebih luas daripada sekadar pemberian baucar.
Dalam podcast BHerbual, terbitan Berita Harian (BH), Encik Saktiandi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, berkata beliau menjangkakan pakej sokongan tahun ini mungkin tidak “selumayan” tahun lalu.
Menurutnya, ini kerana 2025 merupakan sambutan SG60 iaitu ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara, selain merupakan belanjawan di akhir tempoh pemerintah di mana lebihan bajet membolehkan sokongan lebih besar diberikan kepada rakyat.
Dalam Belanjawan 2025, antara lain setiap isi rumah warga Singapura menerima $800 dalam bentuk baucar CDC, dengan $500 diberikan pada Mei 2025 dan $300 lagi pada Januari 2026.
Lain-lain sokongan termasuk rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC).
Setiap isi rumah yang layak menerima rebat U-Save sehingga $760 untuk membantu perbelanjaan bil utiliti, selain rebat S&CC yang meringankan kos penyelenggaraan rumah.
Belanjawan 2026 pula akan dibentangkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, selaku Menteri Kewangan, pada Khamis, 12 Februari.
Ini merupakan belanjawan pertama bagi tempoh baru pemerintah selepas pilihan raya Mei 2025.
“Saya rasa baucar CDC mungkin masih akan diberikan, tetapi mungkin pemberiannya lebih fokus kepada segmen-segmen tertentu,” ujar Encik Saktiandi.
Namun, menurut beliau, baucar CDC bukan satu-satunya kaedah pemerintah untuk memberi sokongan kepada rakyat.
“Baucar CDC hanya salah satu instrumen pemerintah untuk membantu rakyat. Sokongan juga boleh diberikan menerusi rebat lebih tinggi, seperti rebat U-Save dan lain-lain bentuk pemindahan atau ‘transfer’,” katanya
“Jadi, apabila kita menilai kenyataan belanjawan itu, saya harap kita akan melihatnya bukan sahaja dari sudut baucar CDC, tetapi daripada ‘transfer’ keseluruhan di dalam belanjawan itu,” tambah beliau.
Ditanya sama ada tumpuan pemerintah dalam Belanjawan 2026 ini akan lebih tertumpu kepada pelaburan dan perniagaan, Encik Saktiandi menegaskan isu kos sara hidup masih dekat di hati para pembuat dasar.
“Saya rasa kos sara hidup itu masih di dalam keprihatinan pemerintah. Dan saya rasa pemerintah akan menolong (rakyat) menanganinya,” katanya sambil menambah bahawa anggota Parlimen akan terus mengingatkan pemerintah tentang perkara tersebut jika perlu.
Memberi rumusannya mengenai belanjawan kali ini, Encik Saktiandi berkata mesej beliau kepada masyarakat adalah jelas – beliau yakin pemerintah akan terus menyediakan sokongan dan bantuan, namun masyarakat perlu melihatnya secara menyeluruh, dan pada masa yang sama memperkukuh keupayaan diri untuk menghadapi ekonomi yang kian mencabar.
Menjelaskan peranan GPC Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan yang dipengerusikannya pula, Encik Saktiandi berkata beliau dan rakan-rakan GPC telah membentangkan saranan yang diperolehi menerusi pelbagai sesi rundingan dengan segenap lapisan masyarakat, khususnya pemilik perniagaan dan ahli korporat kepada pemerintah.
“Kami telah gigih mengadakan pelbagai rundingan sebagai persiapan sebelum belanjawan ini untuk berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat… termasuk bisnes daripada masyarakat Melayu/Islam kita, masyarakat Cina dan India dan juga sektor-sektor lain,” katanya
Dalam pada itu, perbincangan podcast turut menyentuh kebimbangan graduan muda terhadap prospek pekerjaan, khususnya dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi mengubah corak pengambilan pekerja.
Menurut Encik Saktiandi, impak pemberhentian kerja setakat ini rendah, namun beliau menjangkakan trend di mana syarikat mungkin mengurangkan peranan yang mudah diganti teknologi.
Beliau menekankan keperluan membina kemahiran jangka panjang supaya pekerja tempatan terus relevan walaupun strategi korporat syarikat berbilang negara berubah dengan pantas.
“Amat penting untuk anak muda kita, lulusan baru menunjukkan keupayaan mereka untuk menjadi lebih adaptable (menyesuaikan diri), lebih tangkas menyesuaikan diri,” katanya
Dalam konteks masyarakat Melayu/Islam pula, beliau mengajak agar penekanan bukan sahaja diberikan kepada sains dan teknologi, bahkan juga kekuatan dalaman untuk sentiasa bersedia mendakap perubahan, mempunyai minda terbuka dan sedia belajar sepanjang hayat.
“Kita memberi penekanan kepada STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dan sememangnya harus… tapi saya rasa kita perlu elemen ‘D’. STEM + ’D’ iaitu daya tahan,” ujarnya
Dengan daya tahan, tambah beliau, golongan muda akan lebih bersedia menerima perubahan, bermula mungkin dengan gaji lebih rendah, tetapi membuka ruang pembelajaran dan kemajuan lebih besar pada masa depan.
“
“Saya rasa baucar CDC mungkin masih akan diberikan, tetapi mungkin pemberiannya lebih fokus kepada segmen-segmen tertentu... Baucar CDC hanya salah satu instrumen pemerintah untuk membantu rakyat. Sokongan juga boleh diberikan menerusi rebat lebih tinggi, seperti rebat U-Save dan lain-lain bentuk pemindahan atau ‘transfer’.”
