AP saran beri lebih sokongan bantu golongan memerlukan
Lebihan Belanjawan turut dibahas, usul dikembali kepada rakyat menerusi baucar CDC
Beberapa Anggota Parlimen (AP) telah mengusulkan cadangan untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada golongan lebih memerlukan di sini.
Memulakan perbahasan pada 24 Februari selaku Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Kewangan merangkap Perdagangan dan Perusahaan, Anggota Parlimen (AP), Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), mencadangkan agar pemerintah menubuhkan rangka kerja Akaun Peluang Singapura bagi menangani jurang kekayaan yang semakin melebar berbanding pendapatan.
Menurut Encik Saktiandi, akaun itu dapat membantu isi rumah berpendapatan rendah membina aset.
Beliau memberi contoh bagaimana akaun tersebut boleh menyokong seorang pelajar dari isi rumah berpendapatan rendah yang mungkin mempunyai keupayaan untuk mengikuti kursus khusus atau bersangkut paut dengan industri, tetapi kekurangan penampan kewangan.
“Akaun sedemikian boleh menyokong peluang ini. Di kemudian hari, individu yang sama mungkin ingin beralih ke sektor pertumbuhan. Akaun tersebut boleh menyokong kemahiran semula.
“Dan pada peringkat kehidupan utama, ia boleh menyokong kestabilan perumahan atau penambahan CPF (Tabung Simpanan Pekerja).
“Dengan cara ini, kita bukan sahaja menyokong pendapatan. Kita mendayakan mobiliti merentasi kitaran hayat,” kata Encik Saktiandi.
Beliau berpandangan bahawa akses kepada pembinaan aset harus diperluaskan agar mobiliti tidak hanya bergantung kepada gred pendidikan, tetapi juga peluang.
Rangka kerja yang beliau cadangkan merangkumi modal permulaan yang sederhana dan tokokan progresif untuk isi rumah berpendapatan rendah, struktur pelaburan kos rendah yang selamat.
Ia juga tertakluk kepada kegunaan terhad untuk tujuan khusus seperti pendidikan, peningkatan kemahiran, sokongan perumahan, atau tokokan CPF.
“Ini bukan pengagihan semula kekayaan, tetapi penyertaan berstruktur dalam pembinaan aset,” tegas beliau.
Semasa ucapannya juga, Encik Saktiandi menggesa pemerintah supaya menyemak semula struktur cukai pendapatan individu, khususnya pengecualian bagi $20,000 pertama pendapatan bercukai yang tidak berubah sejak 2002.
Beliau menarik perhatian bahawa dalam tempoh dua dekad, pendapatan median telah meningkat lebih sekali ganda manakala Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula meningkat daripada 3 peratus kepada 9 peratus.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan fenomena ‘bracket creep’ di mana golongan berpendapatan rendah dan sederhana mula memasuki pangkalan cukai bukan kerana mereka lebih kaya, tetapi kerana ambang cukai yang statik.
“Saya berharap kementerian dapat mempertimbangkan untuk menyemak semula sama ada ambang pengecualian $20,000 kekal sejajar dengan tujuan asalnya.
“Ini memandangkan lebih dua dekad pertumbuhan gaji struktur, pergantungan yang lebih tinggi pada cukai tidak langsung dan realiti kos sara hidup yang sentiasa berubah,” katanya.
Encik Saktiandi mencadangkan pelarasan berfasa kepada $25,000 atau $30,000 bagi memberikan kelegaan bermakna kepada rakyat untuk menyimpan lebih banyak bagi pembinaan aset.
Semasa ucapannya, beliau turut berkongsi kebimbangan penduduknya yang bertanya mengapa pemerintah tidak memberi lebih habuan atau goodies meskipun negara mencapai hasil pendapatan sebanyak $15.1 bilion.
Dalam hal ini, beliau berkata walaupun Singapura mencapai prestasi lebih baik daripada yang dijangkakan pada 2025, rakyat tidak boleh menganggap bahawa keadaan sedemikian akan berterusan.
“Oleh itu, adalah bijak untuk kita menyalurkan keuntungan hari ini ke arah memperkukuh daya tahan untuk hari esok, daripada membelanjakan kepada perbelanjaan yang mungkin tidak mampan.
“Kita juga tidak boleh membuat kesilapan dengan menganggap bahawa kitaran keuntungan akan sentiasa memihak kepada Singapura,” katanya.
Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) menyokong pandangan itu, menyatakan bahawa Singapura mempunyai lebih banyak “peluru” untuk menghadapi cabaran di hadapan di tengah-tengah dunia yang tidak menentu kerana Singapura mempunyai lebihan belanjawan,
Beliau menambah bahawa beliau telah mendengar pemerintah dikritik sebagai tidak bertanggungjawab dari segi fiskal apabila ia mengalami defisit, atau dikatakan telah salah pengiraan apabila ia mengalami lebihan.
Encik Yam berkata lebihan tidak bermakna cukai berlebihan, sebaliknya, ia bermakna bahawa dalam dunia yang tidak menentu, Singapura merancang menggunakan andaian konservatif, dan realiti telah menjadi lebih baik daripada yang dijangkakan.
Semasa perbahasan juga, Encik Shawn Loh (GRC Jalan Besar) berkata sebarang lebihan kewangan melebihi 2 peratus daripada GDP harus diberikan kembali kepada semua rakyat Singapura pada tahun berikutnya melalui baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) tambahan.
Beliau menambah jika terdapat kebimbangan bahawa baucar CDC mungkin meningkatkan inflasi, Singapura juga boleh mengagihkan semula wang tersebut melalui penambahan CPF atau rebat lain untuk perkhidmatan pemerintah seperti pengangkutan dan utiliti.
Semasa ucapannya, beliau turut berkata bahawa beliau mempunyai pandangan berbeza daripada Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) tentang bersikap kurang konservatif dengan unjuran kewangan negara.
“Memandangkan semakin sukar untuk meramalkan hasil, adalah lebih baik untuk mendapati diri kita berada dalam kedudukan lebihan belanjawan daripada bergelut untuk mengurangkan defisit, yang dihadapi oleh banyak negara lain,” tambahnya.
Membalas, Encik Giam bertanya sama ada Encik Loh mencadangkan beliau meminta Singapura mempunyai defisit belanjawan dalam ucapannya sebelum ini, apabila beliau berkata corak memandang rendah lebihan menimbulkan persoalan tentang sama ada pemerintah “menyorok dana secara tidak perlu”.
Dalam responsnya, Encik Loh berkata kesimpulannya daripada ucapan Encik Giam ialah Singapura harus mengambil unjuran kewangan yang kurang konservatif.
“Cadangan dan pandangan saya ialah kita masih harus bersikap konservatif dengan unjuran kewangan kita, bersama-sama dengan idea saya bahawa jika kita mempunyai lebihan belanjawan yang tidak dijangka, kita harus menjadikannya sebagai mekanisme perkongsian lebihan yang sistematik pada tahun hadapan dengan semua rakyat Singapura.”
Menurut Encik Giam mereka berdua bersependapat, tetapi beliau percaya Singapura harus mencapai lebihan kecil apabila boleh, dan itu berbeza daripada meraih lebihan $8.29 bilion lebih daripada anggaran yang berlaku pada tahun kewangan 2025.
“Beliau sendiri mencadangkan agar lebihan melebihi 2 peratus dikembalikan pada tahun berikutnya. Saya tidak mempunyai sebarang perselisihan pendapat dengan itu, selagi ia digunakan dengan baik.”
Encik Giam menambah bahawa apa yang beliau tumpukan ialah kehebatan belanjawan pemerintah, “atau mungkin kekurangannya”.
“Saya fikir belanjawan yang terlalu konservatif sebenarnya adalah belanjawan yang tidak tepat dan sesuatu yang harus kita elakkan,” ujar beliau.

