Lebih 134,000 karyawan merangkumi pelbagai bidang telah menyertai Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) setakat Oktober.
Pada masa yang sama, NTUC mencatatkan kemajuan ke arah matlamat keanggotaan 1.5 juta menjelang 2030, kata gerakan pekerja itu dalam satu kenyataan pada 12 November.
NTUC berkata ia telah menggandakan perwakilan pekerja dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana (SME) sejak 2023 setelah 13,435 pekerja meraih manfaat daripada keanggotaan NTUC.
Kenyataan tersebut dibuat menjelang Persidangan Perwakilan Biasa NTUC 2025 yang bakal diadakan di D’Marquee, Downtown East, pada 13 November.
Persidangan itu menghimpunkan kesatuan pekerja dan persatuan bersekutu NTUC untuk menilai kemajuan, menyelaraskan strategi dan merangka hala tuju gerakan pekerja.
NTUC berkata antara perkara yang akan dibentangkan dalam persidangan itu adalah jumlah keanggotaan yang kian berkembang dan mencapai sasaran.
“NTUC berada di landasan yang betul untuk mencapai (matlamat) 1.5 juta anggota menjelang 2030.
“Ini di samping membantu pekerja menangani peningkatan kos sara hidup dan mendapatkan perlindungan penting untuk pekerja platform melalui usaha bersepadu NTUC yang menyeluruh atau WIN,” tambahnya.
Matlamat itu kali pertama diumumkan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, dalam Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC) NTUC pada Oktober 2019.
Ini agar NTUC dapat terus menjadi wakil pekerja yang berwibawa dan rakan kongsi boleh dipercayai kepada pemerintah, kata beliau.
Sehubungan itu, NTUC dijangka membentangkan keterlibatannya bersama pekerja menerusi beberapa inisiatif seperti Rangkain Pementoran NTUC dan Dana U-Care.
Dana U-Care misalnya telah membelanjakan $3.9 juta bagi menyokong 41,000 penerima, kata NTUC.
Sebanyak 6,516 pertikaian pekerjaan, tambah NTUC, telah berjaya diselesaikan melalui kesatuan pekerja bersekutu NTUC dan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM)@NTUC.
Pertikaian ini meliputi isu-isu seperti tuntutan gaji dan amalan pengambilan kerja tidak adil.
Bersangkutan aspek pendigitalan dan inovasi, NTUC berkata ia telah memperluaskan perkhidmatan kerjaya kepada 27 lokasi serata Singapura, termasuk kelab masyarakat dan pusat ServiceSG.
Ini sekali gus memudahkan lebih 110,000 pekerja mencari pekerjaan dan menghubungkan mereka kepada peranan yang sepadan dengan kemahiran masing-masing.
Hampir 3,700 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) kelolaan NTUC juga telah ditubuhkan.
Ini telah memanfaatkan hampir 10,000 pekerja, yang akan dapat meraih kenaikan gaji purata sebanyak 5 peratus melebihi kadar kenaikan tahunan mereka.
Kumpulan pekerja itu – termasuk karyawan, pengurus dan eksekutif – berpeluang menikmati kenaikan gaji, elaun kemahiran atau laluan kerjaya berstruktur di bawah Pelan Pembangunan Kerjaya (CDP).
NTUC berkata: “Kelompok CTC sedemikian mewujudkan kesan penggandaan, atau multiplier effect, membolehkan pemindahan pengetahuan dan keupayaan merentasi sektor.
“Enam syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menunjukkan komitmen mereka, dan berpotensi memberi manfaat kepada sekitar 45,000 pekerja merentasi lebih 600 SME.”
Sementara itu, gerakan pekerja itu juga sedang membangunkan keupayaan bagi kepimpinan pekerja bagi masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam era teknologi yang dipacu kecerdasan buatan (AI).
NTUC berkata ia telah menyokong pembangunan kepimpinan bagi ketua kesatuan pekerja di bawah Institut Kepimpinan Pekerja Ong Teng Cheong (OTCI).
Institut itu telah melatih seramai 4,199 ketua dalam program seperti pembelajaran mesin, kemahiran digital dan AI, antara lain.
Ini, di samping melengkapkan kemahiran dan pengetahuan 446 pegawai cawangan SME berkenaan hubungan industri, undang-undang pekerja dan pembangunan kepimpinan, antara lain.
“
“NTUC berada di landasan yang betul untuk mencapai (matlamat) 1.5 juta anggota menjelang 2030. Ini di samping membantu pekerja menangani peningkatan kos sara hidup dan mendapatkan perlindungan penting untuk pekerja platform melalui usaha bersepadu NTUC yang menyeluruh atau WIN.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg