Lulusan institusi pengajian tinggi yang baru menamatkan pengajian berdepan dengan dua masalah serentak, iaitu kurangnya tawaran pekerjaan dan ketidakserasian yang kian bertambah antara jawatan kosong dengan kemahiran yang dimiliki.
Satu kajian kendalian laman rangkaian sosial yang digunakan karyawan untuk mencari peluang pekerjaan baru serta berkongsi maklumat, LinkedIn, mendedahkan bahawa pasaran tenaga kerja telah mengetatkan peluang bagi individu yang mencari pekerjaan di Singapura.
Ini dapat dilihat dengan jumlah hantaran mengenai tawaran pekerjaan bagi setiap pemohon merosot 8 peratus sepanjang 2024 hingga Mac 2025.
“Ini bermakna persaingan yang lebih sengit, dengan lebih ramai lulusan mengejar jawatan yang berkurangan hari ini,” jelas LinkedIn dalam satu laporan yang dikeluarkan pada 8 Mei.
Di samping itu, pihak majikan pula menjangkakan calon lebih berkelayakan, lantas memperluas lagi jurang bakat dalam pasaran tenaga kerja, jelas LinkedIn dalam dapatan kajian itu.
Dalam satu tinjauan berasingan melibatkan lebih 500 karyawan sumber manusia (HR) di Singapura, perekrut mendedahkan, hanya separuh atau kurang daripada separuh permohonan pekerjaan memenuhi keperluan mereka dan kelayakan pilihan untuk jawatan sepanjang 2024.
Hambatan ketara dalam mengambil pekerja pula adalah kesukaran mencari calon yang mempunyai kemahiran insaniah yang sesuai untuk sesuatu peranan.
Ini dengan 50 peratus daripada mereka yang ditinjau menyifatkannya sebagai cabaran utama, manakala 44 peratus responden pula menganggap kekurangan kemahiran teknikal calon untuk sesuatu jawatan adalah antara halangan terbesar.
Trend sejagat yang berubah pula nampaknya telah mencorak keadaan ketetapan sesuatu jawatan, dengan jurang bakat untuk keupayaan teknikal yang paling kerap diperhatikan dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat dan kemahiran alam sekitar dan kemampanan.
Selain itu, 40 peratus daripada karyawan yang ditugaskan mencari pekerja baru mendedahkan bahawa mereka melihat peningkatan dalam jumlah permohonan yang tidak sesuai untuk sesuatu jawatan yang ditawarkan.
Walaupun menarik bakat baru masih menjadi cabaran, mengekalkan pekerja sedia ada terbukti penting dan genting bagi majikan dalam masa mendatang.
Sebanyak 69 peratus pekerja mendedahkan peluang mengembangkan kerjaya di tempat kerja akan menjadikan mereka lebih berkemungkinan untuk kekal dalam tugas mereka.
Ini termasuk sokongan pembelajaran dan pembangunan, giliran kerja atau pemindahan dalam syarikat, kata LinkedIn.
“Ini berfungsi sebagai isyarat kepada pihak sumber manusia dan pasukan pencarian bakat untuk mengubah suai strategi mereka, memberikan penekanan lebih kuat pada kemahiran untuk menarik, menggajikan dan mengekalkan bakat terbaik dalam syarikat mereka dengan lebih baik lagi,” jelas jurucakap itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg