Peluang dan keselamatan pekerjaan merupakan isu yang dekat di hati Encik Sumarleki Amjah dan menjadi antara isu tumpuannya menjelang Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Apa tidaknya, calon GRC West Coast-Jurong West bersama Parti Kemajuan Singapura (PSP) itu berkata isu tersebut adalah tonggak yang “membolehkan warga Singapura hidup bermaruah”.
Ketua Perniagaan di bahagian Barangan Diproses dan Pembangunan Perniagaan di syarikat barangan pengguna yang boleh dijual segera (FMCG), Del Monte Pacific Limited, itu berkata:
“Saya telah berinteraksi (dengan penduduk) di lapangan sejak beberapa tahun lalu dalam keupayaan peribadi dan juga bersama PSP.
“Keprihatinan paling ketara dalam kalangan warga Singapura adalah keselamatan dan peluang pekerjaan, jadi adalah wajar untuk saya tumpukan perhatian kepada aspek itu.”
Beliau menyatakan demikian kepada Berita Harian dalam wawancara di Pasar dan Pusat Penjaja Taman Jurong baru-baru ini.
Selain Encik Sumarleki, barisan calon Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) itu menampilkan pengerusi parti, Dr Tan Cheng Bock; Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai; naib pengerusi pertama, Cik Hazel Poa; dan peguam, Encik Sani Ismail; manakala Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Pioneer diwakili muka baru parti itu, Cik Stephanie Tan.
Encik Sumarleki, 53 tahun, ayah seorang anak, pernah menjadi pengarah urusan bahagian Asia Selatan dan Asia Tenggara bagi syarikat World Kitchen, atau kini dikenali sebagai Corelle Brands, menukil laman LinkedIn beliau.
Encik Sumarleki berkata Singapura perlu melakar hala tuju ekonomi baru, lebih-lebih lagi dengan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik kini, kerana ia seharusnya menjadi bidang tumpuan pemerintah.
Ingin lebih dikenali sebagai ‘Lucky’ (Bertuah) kepada penduduk, Encik Sumarleki berkata beliau terlibat dengan parti pembangkang PSP bukan sekadar untuk membangkang dasar sedia ada semata-mata, malah menambah nilai dan memberi usulan alternatif.
Dengan berbekalkan semangat inilah, antara lain, beliau melibatkan diri dengan parti itu sejak lebih 10 bulan lalu.
“Kami mahu bekerjasama dan berganding bahu dengan pemerintah untuk menyelesaikan (isu-isu) masyarakat.
“Tugas kami bukanlah hanya membangkang… kerana itu bukanlah (satu-satunya) fungsi kami,” ujarnya.
Menukil isu keselamatan pekerjaan, Encik Sumarleki berkata sebelum merealisasikan isu itu, harus ada peluang bekerja, seterusnya peluang mengekalkan pekerjaan tersebut.
Namun untuk warga Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam, mempunyai peluang bekerja dan keselamatan pekerjaan, perlu ada hala tuju ekonomi yang sesuai daripada pemerintah, ujarnya.
Beliau berkata: “Untuk rakyat Singapura, masalah yang paling genting adalah pekerjaan dan kos sara hidup yang sering terkait sama.
“Kalau kita ada pekerjaan yang sesuai, kita mungkin dapat menguruskan kos sara hidup ini.”
Dari segi itu, beliau mengusulkan tiga ‘P’ – peluang, permodalan perniagaan dan masyarakat, serta pendidikan – yang diharap dapat memacu masyarakat Melayu/Islam ke peringkat seterusnya.
Ketiga-tiga usulan itu bertujuan memperluaskan pendedahan antarabangsa dalam kalangan pelajar cemerlang Melayu/Islam, memandangkan mereka dapat menjadi modal intelektual masyarakat kelak.
Ini di samping meningkatkan modal sosial dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam dengan memberi pendedahan perniagaan kepada pelajar yang kurang cenderung dari segi akademik, yang ingin diutarakan sekiranya beliau diberi mandat.
“Sekiranya saya diberi peluang berkhidmat dalam politik, saya akan dapat menyebarkan lagi idea ini yang dapat membangkitkan anak-anak muda di sini, khususnya anak muda Melayu/Islam, untuk maju dalam perniagaan.
“Ini salah satu cara kita dapat meningkatkan kedudukan dalam masyarakat,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg