New York — Microsoft berkata ia akan memberhentikan 6,000 kerja di seluruh syarikat sebagai usaha mengurangkan lapisan pengurusan.
Menurut jurucakap syarikat tersebut, pemberhentian yang dirancang itu melibatkan kurang 3 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja dan akan berlaku merentasi pelbagai lokasi geografi, peringkat pekerja, termasuk LinkedIn.
‘Kami akan terus melaksanakan perubahan organisasi yang diperlukan untuk meletakkan syarikat pada kedudukan terbaik dalam pasaran yang dinamik,’ kata jurucakap tersebut.
Pemotongan pekerjaan itu merupakan pengurangan terbesar Microsoft sejak ia menghapuskan 10,000 jawatan pada 2023.
Tidak seperti pemotongan berasaskan prestasi yang lebih kecil ada Januari lalu, syarikat itu berkata pemberhentian kali ini bersifat struktur.
Microsoft, yang menggajikan seramai 228,000 orang pada Jun 2024, sering melaksanakan pemberhentian secara berkala untuk menyusun semula tenaga kerja mengikut keutamaan syarikat.
Kira-kira 2,000 pekerja di ibu pejabat Microsoft di Redmond, Washington akan terkesan, menurut satu pemfailan negeri pada 13 Mei. Pemberhentian dijangka bermula pada 13 Julai.
Syarikat itu telah menghadapi tekanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengawal kos di tengah-tengah perbelanjaan besar-besaran terhadap pusat data yang menggerakkan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan unit pengkomputeran awan Azure.
Microsoft menyatakan bahawa ia merancang untuk membelanjakan kira-kira AS$80 bilion ($104 bilion) dalam tahun fiskal ini bagi pembangunan ladang pelayan.
Pada 2024, Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Satya Nadella, berkata AI membantu syarikat menjimatkan kos buruh. Isu ini turut dibangkitkan pada 13 Mei semasa persidangan JPMorgan, apabila eksekutif kewangan Microsoft, Encik Bill Duff, berkata syarikat itu ‘menjimatkan ratusan juta dolar setahun’ dengan menggunakan AI untuk sokongan pelanggan dan menurankan keperluan interaksi manusia.
Encik Duff berkata Microsoft sedang menggunakan AI di pelbagai bahagian untuk membantu kakitangan menganalisis urus niaga berkaitan isu pematuhan, menulis bahan pemasaran, dan tugas-tugas lain. Beliau juga menyatakan bahawa syarikat itu secara rutin menyusun semula tenaga kerjanya daripada produk lama kepada inisiatif pertumbuhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg