Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

See Leng: Kerjasama tiga pihak bantu S’pura harungi gangguan dagangan

Apr 29, 2025 | 5:30 AM
Kerjasama tiga pihak adalah asas kemajuan ekonomi Singapura yang membantu mencipta pekerjaan yang baik, dan tempat kerja yang adil dan progresif, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, sebagai sebahagian daripada pesanan sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Kerjasama tiga pihak adalah asas kemajuan ekonomi Singapura yang membantu mencipta pekerjaan yang baik, dan tempat kerja yang adil dan progresif, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, sebagai sebahagian daripada pesanan sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). - Foto fail

Kerjasama tiga pihak dan perpaduan mesti dikekalkan agar Singapura dapat mengharungi ketegangan perdagangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, serta perpecahan dalam aturan antarabangsa, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

“Ekonomi besar telah mengenakan tarif baru, yang dijangka menyebabkan lebih banyak tindak balas.

“Apabila gangguan terhadap perdagangan dan pelaburan merebak, tekanan terhadap pekerjaan dan pendapatan akan juga meningkat.

“Singapura yang kecil dan terbuka tidak akan terlepas.

“... kita mesti mengekalkan kerjasama tiga pihak dan perpaduan kita kerana ia akan membolehkan kita mengharungi masa yang tidak menentu ini,” kata Dr Tan sebagai sebahagian daripada pesanan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Menurut Dr Tan, gaji sebenar pada persentil ke-20 meningkat sebanyak 5.8 peratus, lebih cepat daripada pekerja median pada 3.56 peratus, dari 2019 hingga 2024.

Ia mencerminkan usaha berterusan selama bertahun-tahun melalui Model Gaji Progresif, Daya Kerja, dan usaha bersama dengan kesatuan sekerja serta majikan untuk meningkatkan standard pekerja dengan mampan.

Katanya lagi, Singapura merupakan antara negara pertama di dunia melindungi pekerja platform, sebagai kumpulan pekerja yang berbeza.

Menurut Dr Tan, pekerja platform dapat dilindungi dengan lebih baik sambil mengekalkan fleksibiliti mereka melalui kerjasama tiga pihak yang kukuh, caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF), pampasan kecederaan pekerjaan dan rangka kerja undang-undang bagi perwakilan yang kini tersedia.

Untuk menyokong pekerja matang, Dr Tan berkata Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerjaan Warga Emas akan mengkaji semula pendekatan terhadap pekerjaan mereka.

Perikatan untuk Bertindak (AfA) bagi memperkasa kerjaya berbilang peringkat untuk pekerja matang pula, ujarnya, akan mencipta bersama penyelesaian untuk menjadikan pekerjaan dan tempat kerja lebih mesra umur.

Caruman CPF untuk pekerja matang akan terus ditingkatkan, dan pemerintah juga akan melanjutkan Imbangan Peralihan CPF untuk majikan.

“Kami berhasrat untuk memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa mereka boleh memenuhi keperluan asas persaraan mereka selagi mereka bekerja dan menyumbang secara konsisten kepada CPF mereka,” kata Dr Tan.

Selain sokongan bagi pekerja platform dan matang, beliau berkata pemerintah dan Pergerakan Buruh juga mesti membantu perniagaan berubah dan berkembang maju.

“(Ia) kerana ini adalah satu-satunya cara untuk mencipta lebih banyak pekerjaan yang baik, meningkatkan pendapatan, dan memastikan terdapat lebih banyak lagi untuk dikongsi dengan semua,” ujar beliau.

Dr Tan akur akan tekanan yang dihadapi oleh majikan untuk berubah, meningkatkan kemahiran dan kekal tangkas dalam dunia yang cepat berubah.

Menekankan kepentingan kerjasama mengekalkan kewaspadaan dan melaksanakan tanggungjawab kolektif untuk melindungi kehidupan dan mata pencarian pekerja dengan lebih baik, beliau merujuk kepada Garis Panduan Tiga Pihak bagi Pengaturan Kerja Fleksibel, dan Akta Keadilan Di Tempat Kerja yang melengkapi Garis Panduan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil, bagi melindungi tempat kerja yang adil dan harmoni.

“Tahun ini juga genap 70 tahun sejak Kementerian Tenaga Manusia (MOM) ditubuhkan.

“Zaman telah berubah sejak kami bermula sebagai Kementerian Buruh dan Kebajikan, tetapi komitmen kami untuk menyokong pekerja dan rakan kongsi majikan tidak akan pernah berubah,” kata Dr Tan lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg