Lebih 53,000 pekerja runcit, termasuk penolong runcit dan juruwang, akan membawa pulang pendapatan sekurang-kurangnya $2,305 sebulan dan menerima kenaikan gaji tahunan antara $130 dengan $160.
Ini apabila saranan Model Gaji Progresif (PWM) yang terkini bagi sektor tersebut berkuat kuasa pada 1 September.
Pemerintah pada 11 Ogos menerima saranan Kelompok Tiga Pihak bagi Industri Runcit (TCR) mengenai PWM itu, yang menetapkan jadual kenaikan gaji PWM yang berterusan bagi kedua-dua pekerja runcit sepenuh masa dan sambilan untuk tempoh tiga tahun dari 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2028.
Kenaikan gaji mulai 1 September 2027 tertakluk kepada semakan pada 2026, kerana ia mungkin meningkat lebih tinggi jika keadaan ekonomi bertambah baik.
PWM tersebut turut merangkumi senarai modul latihan yang diperluaskan dan pengiktirafan kelayakan Institut Pengajian Tinggi (IHL) untuk memenuhi syarat latihan minimum.
Sempena pengumuman saranan terkini PWM bagi sektor itu, Sekretariat TCR telah membuat satu lawatan syarikat ke perusahaan runcit, Far East Flora, di Clementi Road.
Lawatan itu disertai Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash; Pengerusi TCR dan Penolong Setiausaha Agung NTUC, Cik Yeo Wan Ling; dan Pengerusi Bersama TCR dan wakil Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Ryan Chioh.
Diperkenalkan pada 1 September 2022, PWM bagi sektor runcit itu menawarkan pendekatan yang seimbang dan mampan dalam mempertingkat pekerja bergaji rendah, menggalak peningkatan kemahiran dan menyokong daya saing perniagaan.
Saranan terkini PWM itu dilaksanakan di tengah-tengah landskap mencabar bagi sektor runcit, dengan kedai runcit menyaksikan jumlah pelanggan yang semakin berkurangan dek persaingan meningkat daripada platform e-dagang dan alternatif runcit di luar negara, kata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dalam kenyataannya pada 11 Ogos.
Ini lebih-lebih lagi dengan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijadual dilancarkan pada Disember 2026.
Di samping itu, perniagaan juga menghadapi isu kos operasi yang semakin meningkat, kekurangan tenaga kerja, serta jangkaan pelanggan yang berubah.
Cik Yeo berkata di samping menaikkan gaji untuk pekerja runcit, saranan PWM itu juga membantu membina asas bagi tenaga kerja runcit yang lebih kukuh dan bersedia untuk masa depan.
“Dengan laluan kerjaya yang jelas dan sokongan kukuh bagi peningkatan kemahiran berterusan, kami membolehkan pekerja runcit berkembang di samping industri yang berubah.
“Pada masa yang sama, kami mahu membentuk semula persepsi pekerjaan runcit dan menjadikan ia sebuah sektor dinamik dengan peluang kerjaya bermakna, jangka panjang untuk rakyat Singapura,” kata beliau.
Di bawah saranan terkini PWM itu, seorang penolong runcit atau juruwang yang pada masa ini membawa pulang gaji kasar bulanan $2,175 – tidak termasuk gaji kerja lebihan masa – akan menyaksikan gaji meningkat kepada $2,305 mulai 1 September ini.
Pekerja itu juga akan melihat kenaikan gaji $130 setiap tahun, yang bermakna gajinya akan naik kepada $2,435 pada 1 September 2026 dan $2,565 pada 1 September 2027.
Pekerja pangkat lebih tinggi, seperti juruwang kanan atau penolong runcit kanan, pula akan melihat gaji asas mereka meningkat daripada $2,395 kepada $2,535 mulai 1 September ini; $2,680 mulai 1 September 2026; dan $2,820 mulai 1 September 2027.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataannya berkata majikan yang layak akan secara automatik menerima sokongan pembiayaan bersama sehingga 40 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada pekerja bergaji rendah pada 2025, dan 20 peratus pada 2026 di bawah Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS).
Sementara itu, kelayakan daripada IHL seperti politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), termasuk Politeknik Ngee Ann (NP), Politeknik Republic (RP), Politeknik Nanyang (NYP), akan diiktiraf sebagai memenuhi keperluan latihan PWM.
Ini akan memberikan pekerja runcit “laluan yang lebih mudah dicapai dan pelbagai untuk memenuhi kriteria latihan, sambil mengiktiraf pembelajaran sebelum ini dan kelayakan berkaitan industri”, kata NTUC.
Selain itu, ia membantu mengurangkan duplikasi usaha latihan, terutamanya untuk pekerja yang sudah pun memiliki kemahiran dan pensijilan yang relevan.
Antara lain, TCR juga menyarankan agar peranan kerja dalam PWM sektor runcit dipertingkat untuk mengikuti perkembangan transformasi sektor dan permintaan kerja.
Sebagai contoh, peruntukan khidmat pelanggan akan disertakan dalam peranan kerja PWM sektor runcit, kerana majikan telah menekankan bahawa tugas menyediakan khidmat pelanggan yang baik adalah penting dalam memenuhi permintaan pelanggan dan memacu hasil jualan.
Encik Chioh berkata kenaikan kos dan kekangan tenaga kerja adalah cabaran nyata bagi perniagaan runcit, namun kemaraan gaji berstruktur dan latihan yang disasarkan di bawah PWM menawarkan cara praktikal ke hadapan dalam “membantu perniagaan kekal berdaya saing sementara membina sebuah tenaga kerja yang berdaya tahan, terdorong”.
Dalam pada itu, Encik Dinesh berkata faktor ketidaktentuan global telah dipertimbangkan dalam saranan terkini PWM bagi sektor runcit.
“Pemerintah juga sedang memantau prospek ekonomi dengan teliti, dan jika terdapat keperluan bagi kami membuat perubahan lanjut, kami akan mempertimbangkannya juga,” kata beliau kepada media semasa lawatan ke Far East Flora itu.
PWM, yang kali pertama diperkenalkan untuk sektor pembersihan pada 2014, membantu meningkatkan gaji pekerja bergaji rendah melalui peningkatan kemahiran dan produktiviti.
Sektor lain yang turut melaksanakan model itu termasuk keselamatan, landskap, lif dan tangga gerak, khidmat makanan, dan pengurusan sampah.
PWM turut dilaksanakan bagi pekerja pentadbir dan pemandu.
“
“Pemerintah juga sedang memantau prospek ekonomi dengan teliti, dan jika terdapat keperluan bagi kami membuat perubahan lanjut, kami akan mempertimbangkannya juga.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg