Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Nilai saya, pasukan secara adil

Pencapaian S’pura hasil kerjasama tiga pihak – pemerintah, NTUC dan rakan sekerja
May 1, 2025 | 12:00 PM
NTUC, Lawrence Wong, Lee Hsien Loong, Ng Chee Meng
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong (barisan pertama, tiga dari kanan), memuji Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) kerana berada di barisan hadapan dalam melindungi pekerja semasa pandemik Covid-19. Turut hadir pada Rapat Hari Pekerja 2025 pada 1 Mei ialah (dari kanan) Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, bersama sekitar 1,600 hadirin. - Foto ZAOBAO

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyeru rakyat Singapura agar menilai beliau dan pasukannya dengan adil, serta memberikan sokongan dalam Pilihan Raya 2025 (GE2025).

Ini bagi membolehkan beliau dan pasukannya memimpin rakyat ke hadapan dalam mengharungi masa mencabar.

Rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei, kemuncak tempoh berkempen sembilan hari untuk memilih barisan Anggota Parlimen (AP) terbaru.

Berucap di Rapat Hari Pekerja 2025 pada 1 Mei, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak akan pernah menarik diri daripada pergerakan pekerja dan telah memandang ke hadapan untuk menjangkakan dan menangani cabaran melalui langkah yang “tidak popular tetapi bertanggungjawab”.

“Saya meminta rakyat Singapura untuk nilai saya dan pasukan saya dengan adil.

“Tinjau apa yang telah kami lakukan dan bagaimana kami memimpin.

“Jika anda percaya dengan sepenuh hati bahawa kami telah memenuhi janji, bahawa kami adalah pasukan terbaik untuk membawa Singapura ke hadapan dalam masa yang mencabar ini, maka beri kami sokongan anda,” kata Encik Wong, di Downtown East, D’Marquee.

Menurut Encik Wong terdapat “ribut baru” dengan peningkatan halangan perdagangan.

Beliau menyatakan sedang Amerika Syarikat menyasarkan negara lain di rantau ini, Singapura juga akan diberi tumpuan.

“Kami mesti menjangkakan lebih banyak tekanan terhadap diri kami. Ia memerlukan pengalaman dan kemahiran untuk mengharunginya.

“(Ia merupakan) Individu yang telah membina kepercayaan dan hubungan rapat dengan rakan sejawat mereka di China dan Amerika,” ujarnya, sambil menambah hubungan sebegitu mengambil masa untuk dibina.

Justeru, beliau berkata, “apabila parti pembangkang memandang ringan terhadap kehilangan menteri utama, saya katakan tolong ambil peduli tentang negara dan kesejahteraan serta mata pencarian setiap rakyat Singapura”.

“Dalam bola sepak, jika tiga hingga empat pemain utama tidak dapat bermain, apakah yang akan berlaku?

“Sudah tentu, akan ada pemain simpanan dan gantian. Tetapi semua orang tahu bahawa pasukan itu tidak akan dapat berfungsi pada tahap yang sama,” kata beliau kepada hampir 1,600 ketua kesatuan, rakan tiga pihak dan tetamu.

Dalam pada itu, Encik Wong menekankan kerjasama tiga pihak yang membolehkan Singapura mengekalkan kadar pengangguran rendah, meningkatkan gaji sebenar dan memastikan rakyat Singapura bersatu dan memupuk keyakinan terhadap masa hadapan.

Terdapat jurang dalam kedudukan fiskal Singapura pada penggal lalu, tambah Encik Wong, yang menyebabkan pemerintah mengambil langkah mengubah kadar cukai.

“Langkah tersebut mungkin tidak popular, tetapi ia adalah perkara yang bertanggungjawab untuk dilakukan.

“Sebagai hasil daripada langkah tersebut, kami kini berada dalam kedudukan kewangan yang sihat, kami mempunyai sumber yang diperlukan untuk melindungi pekerja kami dan menangani cabaran yang akan datang.

“Itulah yang dimaksudkan oleh pemerintah yang bertanggungjawab,” kata beliau.

Menurutnya, Encik Wong mengumumkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, sedang mengetuai Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bersama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan rakan kerja tiga pihak untuk merangka pelan bagi membantu perniagaan dan pekerja.

Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.

Pencapaian Singapura adalah hasil kerjasama tiga pihak, katanya lagi.

Beliau menjelaskan pemerintah PAP, NTUC serta pergerakan pekerja, termasuk majikan dan pemimpin perniagaan, bekerja bersama, tanpa “groupthink” atau berfikiran serupa, meskipun ketidaksefahaman ada kalanya berlaku.

Menurutnya, di negara lain, kesatuan sekerja berdiri di ‘garisan piket’ (picket line), membantah, mengacau dan melawan perniagaan.

Namun di Singapura, kesatuan sekerja adalah rakan kongsi dalam pembinaan negara.

Beliau merujuk kepada Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang membantu perniagaan berubah dan kekal berdaya saing, serta bantuan bagi pekerja untuk meningkatkan kemahiran, sentiasa maju selangkah dan mendapat gaji yang lebih baik.

Selain itu, beliau mengesyorkan pekerja di setiap lapisan usia akan disokong.

Lulusan baru daripada institut pengajian tinggi akan diberi sokongan menerusi kaunseling kerjaya, sesi kerjaya, serta program pemadanan pekerjaan.

Karyawan pertengahan kerjaya juga akan mendapat manfaat daripada program SkillsFuture.

Di samping itu, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, juga akan mempengerusikan kumpulan tiga pihak baru bagi mengkaji cara memperkasa lebih ramai warga emas untuk kekal dalam tenaga kerja.

“Antara PAP dengan NTUC... kami telah merangka rancangan ini.

“Sebagai rakan kongsi simbiotik, kami akan melancarkannya untuk semua pekerja, untuk semua warga Singapura,” kata Encik Wong.

Saya meminta rakyat Singapura untuk nilai saya dan pasukan saya dengan adil.  Tinjau apa yang telah kami lakukan dan bagaimana kami memimpin.  Jika anda percaya dengan sepenuh hati bahawa kami telah memenuhi janji, bahawa kami adalah pasukan terbaik untuk membawa Singapura ke hadapan dalam masa yang mencabar ini, maka beri kami sokongan anda.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg