Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: GE2025 mengenai masa depan S’pura, pilih pasukan terbaik

Cabaran ekonomi yang dihadapi bukan situasi sementara, dijangka berlarutan
Apr 30, 2025 | 10:36 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penduduk bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat (dari kiri), Dr Koh Poh Koon, Encik David Neo, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Dr Charlene Chen dan Encik Desmond Choo semasa lawatan ke Blok 633 Tampines North Drive 2 pada 30 April.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penduduk bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat (dari kiri), Dr Koh Poh Koon, Encik David Neo, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Dr Charlene Chen dan Encik Desmond Choo semasa lawatan ke Blok 633 Tampines North Drive 2 pada 30 April. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) adalah mengenai masa depan rakyat Singapura dan memilih pasukan yang terbaik untuk mengemudi negara mengharungi cabaran, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ia juga mengenai cita-cita rakyat buat Singapura dan apa yang mereka jangkakan buat masa hadapan negara, terutamanya dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni, berbilang kaum dan agama.

Bercakap dengan media selepas melakukan lawatan bertemu penduduk di sekitar Blok 633 Tampines North Drive 2 pada 30 April, PM Wong menggesa pengundi untuk mempertimbangkan tiga perkara ketika kempen pilihan raya memasuki peringkat terakhir.

“Pertama, pilihan raya ini adalah mengenai masa depan anda. Untuk anda, keluarga anda, anak-anak anda, dalam dunia yang sangat berubah di mana kita menghadapi cabaran yang serius dan semakin meningkat,” katanya.

Pelbagai cabaran ini akan menjadikan keprihatinan seperti kos sara hidup, pekerjaan dan mata pencarian menjadi kebimbangan lebih mendalam. Situasi ekonomi ini dijangka bukan sementara, malah boleh berlarutan, kata Encik Wong.

Kedua, PM Wong berkata GE2025 adalah mengenai memilih calon yang betul – “orang yang jujur, amanah, berkelakuan baik”, yang boleh berkhidmat dengan baik kepada penduduk di kawasan mereka dan mewakili mereka di Parlimen.

“Ketiga, pilihan raya ini adalah mengenai cita-cita kita, apa yang kita mahukan buat Singapura, masyarakat yang kita bayangkan untuk diri kita sendiri, terutamanya masyarakat yang harmoni, berbilang kaum dan agama.

“Ini adalah tiga isu penting yang telah timbul dalam pilihan raya ini. Saya meminta rakyat Singapura untuk mempertimbangkan dengan teliti apakah implikasinya, dan saya juga meminta anda memberi saya dan pasukan PAP saya peluang untuk melakukan yang terbaik untuk anda,” katanya.

Penduduk Tampines berpusu-pusu untuk bergambar dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (lima dari kiri) bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Tampines pada 30 April.
Penduduk Tampines berpusu-pusu untuk bergambar dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (lima dari kiri) bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Tampines pada 30 April. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Bersama PM Wong semasa lawatannya ke Tampines pada 30 April adalah pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Tampines, yang diketuai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Pasukan tersebut merangkumi dua calon berpengalaman - Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng.

Dua muka baru PAP, mantan ketua tentera Encik David Neo; dan profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen, serta calon PAP bagi SMC Tampines Changkat, Encik Desmond Choo, turut hadir semasa lawatan itu.

Semasa bercakap dengan media, PM Wong turut membidas kritikan Setiausaha Agung, Parti Pekerja (WP) Encik Pritam Singh yang berkata pada rapat WP pada 29 April bahawa politik negatif berada dalam ‘DNA’ atau sifat semula jadi PAP.

Beliau berkata membina muafakat adalah sebahagian daripada DNA PAP dan pendekatan pemerintah PAP terhadap penggubalan dasar, termasuk dasar-dasar yang mungkin dilihat sebagai kontroversi, adalah untuk menyatukan dan membawa rakyat Singapura bersama.

“Itulah cara PAP. Itulah DNA PAP. Dan begitulah, selama beberapa dekad, kita telah dapat membawa rakyat Singapura bersama-sama.

“Menyatukan rakyat kita dan membentuk identiti Singapura yang lebih kukuh hari ini. Dan kita akan terus mengambil pendekatan itu,” kata PM Wong.

Beliau berkata bahawa mengenai perkara seperti memansuhkan Seksyen 377A, isu pemakaian tudung dan konflik Israel-Hamas, pendekatan PAP adalah untuk mencari titik persamaan.

Ia juga adalah untuk “menyatukan rakyat Singapura supaya tidak menonjolkan perbezaan atau cuba mengeksploitasi perbezaan ini,” katanya.

Sebelum ini, Encik Pritam menyatakan “politik negatif berada dalam DNA PAP”. Ini berikutan seruan PM Wong untuk menolak politik negatif berhubung kritikan peribadi yang diluahkan oleh WP terhadap Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Ketika ditanya mengenai perkara ini, PM Wong berkata beliau telah merujuk kepada kritikan peribadi yang dibuat oleh WP tetapi Encik Pritam telah merujuk kepada dasar PAP yang tidak dipersetujuinya.

“Parti Pekerja merujuk perkara itu dalam ucapan rapat mereka, tetapi mereka merujuk kepada dasar.

“Saya merujuk kepada jenis politik negatif yang berbeza... serangan negatif peribadi. Itu, pada pandangan saya, adalah tidak wajar,” kata PM Wong.

Penduduk Tampines beratur untuk bergambar dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Blok 633 Tampines North Drive 2 pada 30 April.
Penduduk Tampines beratur untuk bergambar dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Blok 633 Tampines North Drive 2 pada 30 April. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Ketika ditanya oleh Berita Harian (BH) untuk mengulas tentang penduduk yang mungkin ingin mengundi parti alternatif walaupun pasukan PAP telah membina Tampines sejak beberapa dekad, PM Wong berkata ia benar-benar bergantung kepada kualiti parti dan calon.

Beliau menambah bahawa sementara sumber negara seperti program menaik taraf diperuntukkan secara menyeluruh kepada semua kawasan undi, tidak kira kawasan PAP atau pembangkang, PM Wong berkata “siapa yang mewakili anda di kawasan anda boleh membuat perubahan tambahan”.

PM Wong memberi contoh bagaimana pembangunan dan kemajuan di Tampines selama beberapa dekad mencerminkan ini.

Beliau turut meluahkan penghargaan kepada usaha semua Anggota Parlimen (AP) PAP selama bertahun-tahun berturut-turut yang telah bekerja keras untuk memahami isu-isu dan membantu untuk mendesak dan menyokong keperluan penduduk.

“Ia bergantung pada kualiti pasukan anda, projek apa yang mereka bekerjasama dengan penduduk, cara mereka menggerakkan sumber, cara mereka menghasilkan penyelesaian inovatif, cara mereka mendesak dan menyokong penduduk untuk menghasilkan pembangunan baru dan lebih baik.

“Saya akan katakan ia melangkaui program menaik taraf Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) seluruh negara. Ia melangkaui apa yang dilakukan oleh agensi pemerinth,” kata PM Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg