Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah diberikan anugerah tertinggi Hari Pekerja pada 25 April di atas sumbangan cemerlang dan dedikasi beliau selama 40 tahun dalam membaiki kehidupan serta mata pencarian pekerja.
Anugerah Rakan Pekerja Unggul itu disampaikan kepada Encik Lee oleh Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik K. Thanaletchimi, semasa majlis Anugerah Hari Pekerja NTUC 2025 bertema, ‘Untuk Anda, Bersama Anda, Kerana Anda Penting’.
Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada sejumlah 143 individu yang terdiri daripada pemimpin kesatuan sekerja, rakan kongsi tiga pihak dan pekerja, serta 37 pertubuhan.
Semasa ditemu ramah NTUC sempena Hari Pekerja, Encik Lee berkata hubungan simbiotik antara pemerintah dengan pergerakan pekerja mampu memberikan manfaat untuk para pekerja dan membantu ekonomi berkembang.
Menurut Encik Lee, hubungan tersebut tidak berlaku di banyak negara.
“Model hubungan simbiotik dan tiga pihak kita di Singapura dapat menyatukan semua.
“Ia memastikan pekerja mempunyai kesatuan sekerja yang menjaga mereka dan pada masa yang sama, mereka dijaga pemerintah,” kata Encik Lee.
Menjelaskan hubungan antara NTUC dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau berkata apabila pemerintah dipilih, mereka akan bekerja rapat dengan pemimpin kesatuan untuk melakukan perkara yang bermanfaat bagi pekerja di peringkat syarikat, industri dan ekonomi.
Untuk mendapatkan kerjasama yang harmoni antara pekerja, majikan dengan pemerintah, Encik Lee berkata perlunya sentiasa ada unsur “tawar-menawar” dalam hal itu.
“Ini kerana apabila anda bercakap tentang isu penyelesaian gaji atau perjanjian kolektif, pekerja inginkan lebih daripada apa yang mereka dapat dan mahukan pelbagai manfaat.
“Majikan pula ingin lebih fleksibiliti, mereka ingin mengurangkan kos sebanyak mungkin.
“Oleh itu, anda perlu tawar-menawar untuk mencapai sesuatu yang dapat diterima kededua pihak dan adil,” ujar Encik Lee.
Menjawab soalan berkaitan perubahan profil tenaga kerja dengan meningkatnya pekerjaan platform dan gig, Encik Lee menekankan perlunya penggubalan undang-undang bagi memastikan pekerja gig dilindungi, terutama dari sudut Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan pampasan pekerja.
“Sebahagiannya adalah tugas kesatuan sekerja.
“Sebahagiannya, majikan mesti memahami bahawa perlu ada rangka kerja untuk pekerja gig.
“Kemudian pemerintah perlu memainkan peranannya memantau, jika perlu, lakarkan undang-undang serta rangka kerja dan ini yang sedang kami lakukan,” kata beliau.
Bagi pengambilan pekerja matang serta kebolehgajian mereka, Encik Lee berkata perkara yang paling ketara di Singapura, ialah rakyat ingin bekerja lebih lama, berbanding dengan negara lain.
Menurutnya, faedah mengenai CPF di Singapura adalah ia dimiliki pekerja itu sendiri.
“Anda bekerja lebih lama, anda mengumpul lebih banyak CPF.
“Pekerja mahu bekerja lama dan saya rasa majikan perlu menerima keadaan bahawa mereka tiada pilihan kerana tidak ada lebihan pekerja.
“Jadi, jika pekerja yang lebih tua dapat menyumbang, mereka (majikan) harus bersedia untuk mengambil mereka (pekerja), atau terus menggajikan mereka (pekerja),” kata Encik Lee.
Encik Lee menambah majikan perlu menyesuaikan peranan jawatan agar pekerja matang dapat menjalankan tugas mereka dan pekerja matang pula perlu bersedia untuk membuat penyesuaian, katanya.
Namun beliau akur pada dasarnya, ia adalah sukar untuk melakukan penyesuaian.
Dalam ucapannya kepada hampir 1,500 tetamu termasuk penerima anugerah dan keluarga mereka, rakan sekerja, pemimpin kesatuan serta rakan kongsi tiga pihak, Cik Thanaletchimi berkata kepimpinan Encik Lee telah membentuk dasar yang mengangkat martabat pekerja, melindungi pekerjaan dan memastikan tiada pekerja yang ketinggalan.
Sementara itu, dalam mesejnya kepada pemimpin kesatuan untuk tahun-tahun akan datang, Encik Lee menggalakkan mereka agar bekerjasama dengan pemimpin dan pekerja, dan mengutamakan kepentingan terbaik bagi pekerja.
“Anda bukan seorang pemimpin kesatuan untuk mendapatkan kepujian...
“Anda berada dalam kedudukan ini kerana anda berpendapat pekerja Singapura berhak untuk dipimpin dengan baik dan berhak untuk dijaga dengan baik dan ia adalah tugas anda, sama seperti bagaimana pemerintah perlu mempunyai keyakinan itu,” ujar Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg