Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan ketua pergerakan buruh akan tanding di SMC Jalan Kayu

Apr 19, 2025 | 4:41 PM
Mantan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, akan bertanding di SMC Jalan Kayu.
Mantan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, akan bertanding di SMC Jalan Kayu. - Foto ST

Mantan Anggota Parlimen dan mantan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, telah disahkan akan bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di SMC Jalan Kayu yang baru dibentuk – pecahan daripada GRC Ang Mo Kio.

Demikian diumumkan oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam persidangan media di cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Teck Ghee19 April.

Langkah itu menandakan perubahan besar dalam perjalanan politik Encik Ng, setelah bertanding di GRC Sengkang dalam Pilihan Raya Umum 2020, yang menyaksikan pasukan PAP tewas kepada Parti Pekerja (WP). 

Walaupun kalah, Encik Ng kekal aktif berkhidmat, terutama dalam peranannya bersama NTUC, yang menyaksikan beliau memperjuangkan nasib pekerja serta memperkukuh daya saing tenaga buruh Singapura.

Dengan pencalonannya di SMC Jalan Kayu, Encik Ng mengangkat semula komitmennya kepada perkhidmatan awam, kali ini dengan fokus yang lebih dekat kepada penduduk kawasan tersebut.

“Saya amat bersyukur diberi peluang kembali bertanding dan berharap dapat membina hubungan yang erat dengan masyarakat Jalan Kayu,” kata Encik Ng.

“Saya akan terus membawa semangat khidmat, sama seperti yang saya bawa semasa di NTUC.”

Dalam ucapan pembukaannya mengenai pelantikan Encik Ng kembali bertanding dalam GE2025, Encik Lee berkata: “Chee Meng telah menunjukkan ketabahan dan rasa tanggungjawab untuk terus berkhidmat. Beliau akan berkhidmat kepada penduduk Jalan Kayu dengan komitmen dan dedikasi yang sama,”

Semasa berkhidmat di NTUC, Encik Ng memainkan peranan penting dalam menangani cabaran pandemik Covid-19.

Beliau mengetuai usaha membantu pekerja melalui pelbagai inisiatif seperti Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (Sirs), program peningkatan kemahiran dan penubuhan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC).

“Ini telah membawa perubahan besar kepada kehidupan pekerja kita dan membantu kita pulih dengan lebih kukuh selepas Covid-19,” kata Encik Lee lagi.

Dalam ucapannya kepada media, Encik Ng menyatakan bahawa beliau “teruja dan berbesar hati diberi peluang berkhidmat kepada penduduk Jalan Kayu”. 

Beliau turut berkongsi bahawa kawasan Seletar, Jalan Kayu dan Fernvale amat dekat di hatinya, kerana beliau pernah menghabiskan masa di sana semasa menyertai Kelab Penerbangan Belia Singapura ketika di kolej prauniversiti, dan seterusnya semasa berkhidmat dalam tentera udara.

Sebagai calon bagi SMC Jalan Kayu, Encik Ng merancang meneruskan khidmatnya dengan penuh komitmen.

“Saya ingin memastikan bahawa penduduk Jalan Kayu mendapat sokongan yang terbaik, dan saya akan terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, sama seperti yang telah saya lakukan dalam peranan saya bersama NTUC dan semasa bertugas di Parlimen,” ujar beliau kepada media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg