Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelabuhan di Asia sesak; purata masa tunggu di S’pura cecah 1.5 hari

Masalah ekoran perubahan penempatan kapal, susuli tarif AS serta penundaan di pelabuhan lain
May 27, 2025 | 7:19 PM
pelabuhan, PSA, kontena
Masa menunggu untuk berlabuh di pelabuhan Singapura lebih panjang kerana kapal tiba secara serentak, menyebabkan pelabuhan menjadi sesak. - Foto ZAOBAO

Beberapa pelabuhan di Asia – termasuk Singapura – dilaporkan sesak, dengan masa menunggu untuk mendapatkan ruang berlabuh di hab pemunggahan terbesar dunia itu kini dianggarkan antara 12 dengan 36 jam.

Penganalisis perkapalan kontena di pembekal data Linerlytica, Encik Tan Hua Joo, memberitahu The Business Times (BT) bahawa masa menunggu yang lebih lama di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini berpunca daripada perubahan dalam penempatan kapal, menyusuli pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat serta penundaan di pelabuhan-pelabuhan sebelumnya.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa kesesakan di pelabuhan-pelabuhan Asia bukan suatu isu baru, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama.

Syarikat perkapalan Hapag-Lloyd telah memaklumkan kepada pelanggannya bahawa sehingga 26 Mei, beberapa pelabuhan di Asia sedang mengalami penundaan lebih lama kerana dermaganya sesak.

Antara yang paling terjejas ialah pelabuhan di Shanghai dan Qingdao, China, dengan purata masa menunggu antara 24 dengan 72 jam, lapor BT.

Di Pelabuhan Ningbo, China, purata masa menunggu ialah antara 24 dengan 36 jam; manakala di Pelabuhan Busan, Korea Selatan, masa menunggu sekitar 18 jam, dan di Pelabuhan Yokohama, Jepun, masa menunggu ialah antara 12 dengan 24 jam.

Penundaan di Singapura berpunca daripada ketibaan kapal secara serentak dan kesesakan di pelabuhan.

Syarikat logistik Kuehne+Nagel pula menggambarkan operasi di pelabuhan Singapura “terjejas teruk”.

Menurut makluman mingguan daripada syarikat penghantaran barang Kuehne+Nagel, kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Republik ini mencatatkan masa menunggu purata sekitar 1.82 hari dalam tempoh tujuh hari lalu. 

Beberapa kapal tiba secara serentak, menyebabkan kargo pemunggahan mengalami penundaan antara satu dengan dua minggu.

Angka daripada perkhidmatan data EconDB menunjukkan jangka masa pemunggahan kargo di pelabuhan Singapura mencatat purata 9.5 hari pada 19 Mei, berbanding rekod tertinggi 10.8 hari pada penghujung Mei 2024 dan purata 7.6 hari sejak Mac 2022.

Pengendali pelabuhan Singapura, PSA Singapore, mengakui pada 27 Mei bahawa terdapat kehadiran kapal kontena yang banyak dalam beberapa minggu kebelakangan ini. 

Keadaan itu disebabkan oleh perubahan konfigurasi perkhidmatan oleh syarikat perkapalan sebagai tindak balas terhadap perubahan dalam perniagaan dan isu-isu global.

Jurucakap PSA Singapore berkata, penundaan dan kesesakan di lokasi lain juga menyebabkan kapal-kapal berkumpul di Singapura.

PSA berkata ia akan memastikan pergerakan kapal kontena berjalan lancar bagi mengurangkan kesesakan itu melalui penambahan kapasiti dan sumber.

Pada 2024, kesesakan pelabuhan telah menyebabkan beberapa syarikat perkapalan terpaksa melangkaui Singapura selepas masa menunggu untuk berlabuh di hab pemunggahan Asia Tenggara itu mencapai tahap tertinggi dalam sejarah.

Keadaan itu berlaku apabila sesetengah pengendali memunggah lebih banyak kontena di Republik ini dan membatalkan pelayaran seterusnya bagi mengejar jadual mereka, menyusuli lencongan di Laut Merah.

Menurut Encik Tan daripada Linerlytica, kesesakan pelabuhan di Singapura mencapai tahap tertinggi pada suku kedua 2024. Keadaan kini sudah mulai reda, tetapi masih belum pulih sepenuhnya.

Beliau menambah bahawa kesesakan dijangka tidak mencapai tahap kritikal seperti 2024 kerana kapasiti pelabuhan Singapura telah diperluas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg