Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelabur runcit S’pura bakal terima bimbingan pakar pelaburan Reit

Peluang lawat hartanah, interaksi dengan pengurus selain hadiri webinar
May 29, 2025 | 3:52 PM
Reit, runcit, pusat beli-belah, pejabat, Singapura
Penganalisis penyelidikan, wakil dagangan dan pengurus dana amanah pelaburan hartanah (Reit) akan mengendalikan 10 sesi di bawah siri pendidikan yang baru dilancarkan bagi membantu pelabur membuat pelaburan bijak dalam Reit. - Foto ST

Pelabur runcit kini boleh mendapatkan panduan pakar mengenai dana amanah pelaburan hartanah (Reit) bertepatan dengan pasaran Reit di Singapura yang semakin rancak, didorong oleh penurunan kadar faedah dan penyenaraian baru yang bakal diumumkan.

Penganalisis penyelidikan, wakil dagangan dan pengurus Reit akan mengendalikan 10 sesi di bawah siri pendidikan yang baru dilancar bagi membantu pelabur runcit memahami dan menilai risiko sebelum membuat pelaburan dalam Reit.

Reit ialah dana yang digunakan untuk melabur dalam portfolio aset hartanah yang menjana pendapatan, seperti pusat beli-belah, pejabat dan hotel.

Sama seperti saham, Reit disenaraikan di bursa saham, membolehkan pelabur membeli dan menjual unit mereka.

Lebih 300 pelabur, broker dan karyawan pelaburan akan berpeluang melawat hartanah Reit serta memahami aset yang mereka labur melalui program enam bulan anjuran Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias).

Mengulas mengenai program yang ditawarkan, Presiden Sias, Encik David Gerald, pada 24 Mei berkata: 

“Selain daripada membaca laporan tahunan atau menghadiri webinar, pelabur kini berpeluang melawat aset sebenar, berinteraksi dengan pengurus, bertanya soalan dan memahami asas pelaburan sebagai sebahagian (daripada aspek) pendidikan untuk pelabur.

“Pelabur juga perlu memahami dan menilai risiko yang terlibat apabila melabur dalam Reit.”

Program itu turut disokong oleh Kumpulan Bursa Singapura (SGX), Persatuan Reit Singapura dan Persatuan Sekuriti Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Ketua Ekuiti Kumpulan SGX, Encik Ng Yao Loong, berkata SGX melihat Tawaran Awam Awal (IPO) Reit yang sihat, terutama dalam subsektor baru seperti pusat data, ruang kediaman khas dan aset logistik.

Berucap di simposium Reit yang diadakan pada 24 Mei, Encik Ng berkata dalam lima tahun kebelakangan ini, bursa saham Singapura telah muncul sebagai lokasi penyenaraian Reit ketiga terbesar di dunia dari segi pengumpulan dana, selepas China dan India.

Beliau menambah SGX beriltizam untuk memastikan Singapura terus menjadi lokasi pilihan utama bagi penyenaraian Reit di peringkat sejagat.

Syarikat telekomunikasi Jepun, Nippon Telegraph and Telephone (NTT), dalam laporan pendapatannya pada Mei menyatakan ia merancang untuk menyenaraikan Reit pusat datanya di SGX pada masa akan datang.

Syarikat tersenarai Singapura, Centurion Corporation, menyatakan dalam satu laporan pada Januari bahawa mereka sedang meneroka penubuhan Reit yang melibatkan beberapa aset penginapan yang disediakan untuk pekerja dan pelajar. 

Jika rancangan itu menjadi kenyataan, Reit tersebut akan disenaraikan di papan utama SGX.

Encik Ng turut memperkenalkan InvestSG, wadah bagi pelabur Reit mendapatkan pandangan sektor, penyelidikan, perbincangan masyarakat, data pasaran dan portfolio berkaitan Reit, yang dapat membantu pelabur membuat keputusan pelaburan lebih bijak. 

Wadah itu dijangka dilancarkan pada penghujung 2025.

Dengan kadar faedah yang semakin berkurang, Reit dijangka akan meraih manfaat pada 2025 kerana kos pinjaman menjadi lebih rendah.

Ini juga disebabkan semakin ramai pelabur berminat untuk melabur dalam aset yang dapat menjana pendapatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg