Pelabur runcit kini boleh melabur dalam Grab dan Sea Limited yang tersenarai di Amerika Syarikat menerusi bursa saham tempatan, tanpa perlu menanggung kos lebih tinggi dan kerumitan melabur secara terus di Wall Street.

Bursa Saham SGX pada 21 Julai mengumumkan Resit Depositori Singapura (SDR) untuk tiga syarikat yang tersenarai di Amerika.

Selain Grab dan Sea yang diasaskan di Singapura, pelabur turut boleh mendapatkan pendedahan kepada SpaceX, syarikat roket dan kecerdasan buatan (AI) milik Encik Elon Musk, yang melancarkan Tawaran Awam Awal (IPO) di Nasdaq pada Jun.

Ia akan menjadi SDR Amerika pertama yang tersedia di SGX, yang kini mempunyai 35 nama saham cip biru (blue-chip) merentasi Hong Kong, Indonesia dan Thailand yang tersenarai.

Pelabur akan dapat membeli SDR Amerika itu bermula 22 Julai menerusi firma broker tempatan mereka.

SDR mewakili pecahan daripada saham asas syarikat asing. Ia membolehkan pelabur SGX memiliki saham syarikat asing yang tersenarai di bursa saham luar Singapura, tanpa perlu berurusan secara langsung dengan kerumitan membeli saham di bursa luar negara.

Perbezaan utama antara SDR dengan saham sebenar sesebuah syarikat ialah SDR diniagakan dalam dolar Singapura, sepanjang waktu urus niaga tempatan, dan selaras dengan peraturan urus niaga Singapura.

Ia mengurangkan halangan untuk melabur dalam syarikat asing dengan membolehkan pelabur membeli pegangan yang lebih kecil pada kos lebih rendah berbanding jika mereka berniaga secara terus di bursa asing. 

SDR Amerika merupakan cara yang lebih mudah bagi pelabur untuk mendapatkan pendedahan kepada syarikat tersenarai Amerika, kata SGX.

Mereka akan dapat membeli minimum 10 lot SDR Amerika berbanding saiz lot papan minimum sebanyak 100 untuk SDR lain di SGX.

Ia bermakna pelaburan minimum hanya sebahagian kecil daripada harga asas Sea dan SpaceX, yang kini diniagakan pada AS$107 ($138.1) dan AS$122, masing-masing.

Saiz lot papan yang lebih kecil menjadikan penyertaan pelabur runcit di Wall Street lebih mudah diakses, terutama bagi pelabur lebih muda, kata Naib Presiden Pasaran Sekuriti dan Depositori Kumpulan SGX, Cik Bernice Tan.

Cik Tan berkata Sea dan Grab merupakan pilihan yang semula jadi sebagai SDR Amerika pertama di SGX kerana kededuanya merupakan syarikat yang dikenali ramai oleh rakyat Singapura.

Perkhidmatan mereka juga digunakan dalam kehidupan harian, termasuk tempahan pengangkutan dan membeli-belah dalam talian. 

Sementara itu, SpaceX dipilih kerana ia merupakan salah satu saham terbesar dan paling diperhatikan di Amerika berikutan IPO-nya pada Jun.

Perniagaannya juga selaras dengan tema jangka panjang seperti kesambungan satelit dan ekonomi digital.

“Ini adalah nama-nama yang relevan dan menarik bagi pelabur, dan ia boleh membantu mereka membina portfolio di sini,” tambah Cik Tan.