SGX usul kurang saiz lot saham, tarik minat pelabur muda
SGX usul kurang saiz lot saham, tarik minat pelabur muda
Bursa Saham SGX sedang merancang merendahkan jumlah minimum yang diperlukan untuk pelaburan saham dan instrumen kewangan lain – langkah yang akan menjadikan perdagangan di bursa tempatan lebih mampu dimiliki pelabur, seperti golongan muda.
Langkah ini akan dilakukan dengan mengurangkan saiz lot piawai daripada 100 unit kepada 10 unit bagi instrumen yang berharga lebih daripada $10 hingga $100; dan daripada 100 unit kepada satu unit bagi instrumen yang berharga lebih daripada $100.
Selain saham, perubahan ini turut melibatkan sekuriti terikat, amanah pelaburan hartanah, amanah perniagaan, waran syarikat kecuali waran syarikat tujuan khas, serta resit depositori dan saham depository.
Dalam kertas rundingan yang dikeluarkan SGX pada 23 Januari, bursa itu berkata langkah yang dicadangkan itu akan menjadikan saham bernilai tinggi lebih mampu milik dan mudah diakses oleh pelabur, yang seterusnya berpotensi meluaskan penyertaan pelabur serta meningkatkan kegiatan perdagangan.
Ketua Ekuiti Kumpulan SGX, Encik Ng Yao Loong, berkata harga beberapa saham terbesar yang dijual beli di bursa telah meningkat dengan ketara.
“Harga beberapa saham terbesar kami telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan kira-kira 30 peratus aktiviti perdagangan kini datang daripada saham yang berharga lebih $10. Inilah segmen yang mana kami mahu meningkatkan akses dan meluaskan penyertaan,” katanya.
“Dengan mengurangkan saiz lot bagi saham bernilai tinggi ini, pelaburan minimum dapat diturunkan daripada beberapa ribu dolar kepada hanya beberapa ratus dolar sahaja – menjadikan pelaburan seperti ini lebih mampu dicapai, terutamanya bagi pelabur runcit muda,” tambah beliau.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usulan Kumpulan Semakan Pasaran Ekuiti yang ditubuhkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Ogos 2024 untuk mengukuhkan pembangunan pasaran saham Singapura.
Kertas rundingan itu boleh didapati melalui pautan ini, dan orang awam mempunyai masa sehingga 13 Februari untuk mengemukakan maklum balas mereka.

