Pelaburan asing dalam hartanah Singapura melonjak pada suku kedua 2025 kepada AS$2.3 bilion ($2.96 bilion), iaitu 572 peratus lebih tinggi berbanding AS$342 juta bagi tempoh sama 2024.
Ini didorong oleh kegiatan jual-beli hartanah pelbagai kegunaan dan perusahaan, menurut syarikat perunding hartanah, Knight Frank.
Jumlah pelaburan tersebut juga merupakan peningkatan terbesar di Asia-Pasifik (Apac).
Namun, masih belum pasti sama ada kadar pertumbuhan tersebut dapat dikekalkan, kata ketua penyelidikan bagi Apac di Knight Frank, Cik Christine Li, kepada The Business Times (BT).
“Pelabur asing sentiasa berminat terhadap aset di Singapura, namun pasaran ini mencabar kerana Singapura tidak mempunyai jumlah besar aset bertaraf institusi yang boleh dibeli, tidak seperti beberapa ekonomi lebih besar di rantau ini.
“Pemilik aset juga biasanya memegang aset Singapura untuk jangka masa lebih panjang,” jelasnya.
Aset ‘bertaraf institusi’ ialah aset atau hartanah yang memenuhi piawaian pelabur institusi besar, contohnya, bangunan komersial di kawasan bandar, dan pusat beli-belah dengan penyewa kukuh.
Syarikat PGIM Real Estate, yang menguruskan aset hartanah sejagat bernilai AS$210 bilion, turut berkongsi pandangan sama.
“Kami meminati pasaran aset di sini, tetapi pasarannya agak kecil, dan sukar untuk melaburkan modal,” kata ketua bersama hartanah dan ketua pegawai pelaburan sejagat PGIM, Encik Raimondo Amabile, baru-baru ini.
Namun begitu, syarikat tersebut bersama Elevate Capital Group membeli bangunan komersial Stamford Court dengan nilai $132 juta pada Oktober 2024.
Bangunan tersebut kini sedang dibangunkan semula untuk dijadikan sebuah hab gaya hidup pelbagai kegunaan.
Ia bakal menampilkan khidmat pengendali ruang kerja bersama, The Great Room, yang berpangkalan di Singapura, apabila ia dibuka pada separuh kedua 2026.
Bagi pelabur luar negara yang ingin melaburkan dana di Singapura, Cik Li mencadangkan agar mereka meneroka peluang menambah nilai pada aset, memandangkan terdapat sebilangan aset lama di sini, dalam sektor seperti pejabat, perusahaan dan hotel.
Data Knight Frank merangkumi urus niaga jual-beli yang telah selesai dan masih dalam proses penyelesaian.
Ini termasuk perjanjian City Developments Ltd untuk menjual 50.1 peratus pegangan syarikat itu dalam projek hotel dan pejabat di kawasan South Beach kepada rakan kongsinya di Malaysia, IOI Properties Group, pada harga sekitar $834.2 juta.
Satu lagi urus niaga besar melibatkan penjualan tiga aset perusahaan Mapletree Industrial Trust kepada Brookfield Asset Management dari Canada pada harga $535.3 juta.
Kedua-dua urus niaga tersebut dijangka selesai pada suku ketiga 2025.
Selain Singapura, Australia dan Jepun adalah antara tiga penerima pelaburan asing terbesar di Asia-Pasifik pada suku kedua 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg