Jualan rumah privet baru meningkat pada Julai selepas empat bulan berturut-turut mengalami penurunan.
Perkembangan terkini didorong oleh pelancaran kondominium baru.
Tidak termasuk Kondominium Eksekutif (EC), sebanyak 940 unit rumah privet baru dijual pada Julai, meningkat daripada 272 unit pada Jun.
Demikian menurut data Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Pemaju hartanah melancarkan 1,675 unit dalam empat projek pada Julai, peningkatan ketara daripada 187 unit yang dilancarkan dalam dua projek pada Jun, lapor The Straits Times (ST).
Jualan pada Julai meningkat 63.2 peratus berbanding 576 unit yang dijual pada Julai 2024.
Jika termasuk EC, jualan rumah privet baru melonjak kepada 1,311 unit pada Julai, berbanding 305 unit pada Jun.
Ketua eksekutif agensi hartanah, ERA Singapore, Encik Marcus Chu, berkata lonjakan jualan didorong oleh pelancaran Lyndenwoods di kawasan Science Park, yang menjual 96.5 peratus daripada 343 unitnya pada Julai dengan harga median $2,463 setiap kaki persegi (psf).
“Pelabur mungkin tertarik dengan peluang menjadi perintis di kawasan Science Park, yang terletak di pinggir bandar,” katanya.
Menurut beliau, unit dua bilik tidur antara yang paling popular dalam kalangan pembeli.
Di kawasan utama, dua daripada tiga projek baru menyaksikan peningkatan jualan rumah di tengah Singapura pada Julai.
The Robertson Opus, pembangunan 348 unit di Unity Street, dan Upperhouse dengan 301 unit di Orchard Boulevard, dilancarkan dengan harga median sekitar $3,300 psf.
Sebanyak 53 peratus unit Upperhouse dan 41 peratus unit The Robertson Opus dijual pada 19 dan 20 Julai.
Ketua penyelidikan di firma perunding hartanah, Knight Frank Singapore, Encik Leonard Tay, berkata pembeli tempatan dijangka menyokong jualan rumah utama, khususnya untuk kediaman sendiri, kerana duti setem sebanyak 60 peratus bagi warga asing terus menghalang pembeli bukan penduduk.
Pelancaran projek ketiga di kawasan utama, W Residences Marina View Singapore, hanya menjual dua unit daripada 683 unit pada Julai, dengan harga median $3,344 psf.
Ketua penyelidikan Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, berkata jualan rendah mungkin disebabkan oleh pembeli asing yang mengelak pasaran Singapura, sementara pembeli tempatan lebih sensitif terhadap harga akibat cabaran ekonomi.
Dalam segmen EC, 371 unit telah dijual, dipimpin oleh pelancaran Otto Place, pembangunan 600 unit di Tengah.
Projek itu menjual 358 unit dengan harga median $1,746 psf pada Julai.
Terdapat 253 unit EC baru yang tidak terjual setakat 31 Julai.
Ketua penyelidikan di agensi hartanah, PropNex Realty, Cik Wong Siew Ying, berkata angka itu dijangka berkurang dengan ketara apabila tempahan jualan di Otto Place dibuka kepada pembeli kali kedua pada Ogos.
Minat pembeli di pasaran kondominium mewah meningkat pada Julai, kata ketua penyelidik dan strategi di Realion Group, Cik Christine Sun, dengan 29 unit dijual antara $5 juta dengan $10 juta, berbanding 11 unit pada Jun.
Jualan kondominium amat mewah lebih sederhana, dengan dua unit dijual melebihi $10 juta, berbanding empat unit pada Jun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg