Pemilik strata Singapore Shopping Centre sekali lagi cuba melancarkan jualan kolektif – kali ini pada harga permintaan lebih rendah iaitu $200 juta.
Ia turun 21.6 peratus daripada harga rizab $255 juta yang disenaraikan pada percubaan sebelum ini iaitu pada 2020.
Harga permintaan yang lebih rendah itu bersamaan dengan kadar tanah antara $2,800 dan $3,500 setiap kaki persegi bagi setiap nisbah plot (psf ppr).
Ini menunjukkan anggaran harga tanah itu bergantung pada jenis penggunaan dan tahap pembangunan di tapak tersebut.
Tapak seluas 2,449.8 meter persegi itu diperuntukkan untuk kegunaan komersial dengan nisbah plot 4.2 di bawah Draf Pelan Induk 2019 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), lapor The Business Times (BT).
Tapak itu boleh dibangunkan semula sebagai hotel dengan nisbah plot yang sama, atau bangunan sedia ada boleh diubah suai untuk kegunaan hotel berdasarkan keluasan lantai kasarnya sekarang, yang bersamaan dengan nisbah plot 5.1296.
Secara umumnya, pecahan lot hartanah komersial tidak dibenarkan di sepanjang Orchard Road, namun, tapak Singapore Shopping Centre terletak di luar zon yang ditetapkan URA, kata ejen pemasaran tunggal ETC pada 18 Ogos.
ETC telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa untuk memperbaharui pajakan tapak itu kepada tempoh baru selama 99 tahun.
Ketua penasihat pelaburan di ETC, Cik Swee Shou Fern, berkata:
“Dengan kawasan ini sedang mengalami transformasi, daripada ruang awam hijau seperti Dhoby Ghaut Green kepada pembangunan baru yang akan datang, kami melihat potensi besar bagi tapak di hujung Orchard Road ini untuk menjadi tumpuan baru.”
“Digabungkan dengan fleksibiliti untuk pembangunan semula atau penggunaan dimudah suai, hartanah ini menawarkan potensi tanpa had kepada pemaju untuk mewujudkan destinasi unggul di salah satu koridor paling terkenal di Singapura.”
Pembangunan tapak runcit dan pejabat tujuh tingkat itu terletak di 190 Clemenceau Avenue, bertentangan dengan stesen MRT Dhoby Ghaut, dan menghadap tiga jalan – Clemenceau Avenue, Penang Road dan Penang Lane.
Pembangunan ini mempunyai keluasan lantai kasar sedia ada kira-kira 12,566.5 meter persegi.
Bangunan ini berhampiran dengan 9 Penang Road yang menempatkan UBS, Plaza Singapura, MacDonald House yang bakal menempatkan kelab eksklusif Vanta, serta Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Bangunan ini pertama kali dilancarkan untuk jualan kolektif pada Julai 2019 dengan harga rizab $255 juta.
Ia dilancar semula setengah tahun kemudian pada harga yang sama, tetapi ketika itu tiada pembeli.
Tender terkini ditutup pada 28 Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg