Pelaburan jangka panjang bertambah, dianggar cipta 15,700 kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaburan jangka panjang bertambah, dianggar cipta 15,700 kerja

S’pura pikat pelaburan aset tetap $14.2b pada 2025, perkilangan tarik pelaburan terbesar
Feb 9, 2026 | 5:00 AM

Pelaburan jangka panjang bertambah, dianggar cipta 15,700 kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
edb, fai, pelabuhan singapura
Singapura telah menarik komitmen pelaburan aset tetap (FAI) sebanyak $14.2 bilion pada 2025, dengan sektor perkilangan menyaksikan pelaburan yang besar, kata Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dalam laporan tahunannya. - Foto ZAOBAO

Singapura telah menarik komitmen pelaburan aset tetap (FAI) sebanyak $14.2 bilion pada 2025, dengan sektor perkilangan menyaksikan pelaburan yang besar, kata Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan pada 9 Februari.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding $13.5 bilion yang diperoleh pada 2024, meskipun Singapura menghadapi persekitaran global yang tidak menentu disebabkan keretakan ekonomi yang semakin meningkat, geopolitik yang tidak dapat diramalkan dan perubahan pesat teknologi.

Daripada $14.2 bilion FAI itu, $12.1 bilion datang daripada projek berkaitan perkilangan, terutamanya dalam semikonduktor dan perkilangan bioperubatan, yang mencerminkan permintaan global yang kukuh, kata EDB.

Walaupun terdapat peningkatan dalam FAI, komitmen tersebut membawa sumbangan nilai tambah setahun yang diunjurkan lebih rendah sebanyak $18 bilion, berbanding $23.5 bilion pada 2024.

Sebanyak $8.9 bilion jumlah perbelanjaan perniagaan keseluruhan (TBE) juga diperoleh pada 2025, naik berbanding $8.4 bilion pada 2024.

FAI merujuk kepada pelaburan modal tambahan syarikat dalam kemudahan, peralatan dan mesin di negara yang menerima pelaburan itu, manakala TBE merujuk kepada perbelanjaan operasi tahunan tambahan syarikat, seperti gaji pekerja dan sewa, tidak termasuk susut nilai.

EDB menambah bahawa bilangan pekerjaan yang dijangka diwujudkan apabila komitmen tersebut direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang juga menurun – daripada 18,700 pada 2024 kepada 15,700 pada 2025.

Antara pekerjaan yang bakal diwujudkan, 40 peratus datang daripada sektor perkhidmatan, 37 peratus daripada perkilangan, dan 23 peratus daripada sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi.

Kebanyakan peranan itu adalah bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), termasuk peluang buat siswazah baru dan pengambilan pekerja pertengahan kerjaya.

Kira-kira dua pertiga daripada pekerjaan yang bakal diwujudkan dijangka mempunyai gaji bulanan kasar melebihi $5,000, kata EDB.

EDB menyatakan meskipun Singapura berdepan dengan persekitaran global yang tidak menentu, ia berjaya memperoleh komitmen pelaburan yang “setaraf dengan tahun-tahun kebelakangan ini”.

“Komitmen pelaburan 2025 menunjukkan bahawa dalam dunia yang semakin berpecah belah, Singapura kekal sebagai hab yang dipercayai bagi perusahaan global bagi memperkukuh daya tahan perniagaan dan mencipta nilai untuk jangka masa panjang.

“Dalam persekitaran global yang mencabar, EDB akan menggandakan usaha dalam mendapatkan pelaburan yang mewujudkan pekerjaan bermutu.

“(Ini dengan) memperkukuh sektor pertumbuhan sedia ada, membina enjin pertumbuhan baru dan menyediakan rakyat kita untuk masa depan,” kata Pengerusi EDB, Encik Png Cheong Boon.

Pada 2025, EDB berkata ia telah bekerjasama dengan syarikat, rakan latihan dan persatuan industri untuk memperkukuh daya saing tenaga kerja Singapura.

Ini termasuk memupuk barisan rakyat Singapura yang kukuh untuk mengambil jawatan kepimpinan dalam syarikat global.

Pada 2025, 65 individu telah dipilih untuk menyertai kohort kedua Fellowship Rangkaian Pemimpin Singapura (SGLN).

SGLN juga melancarkan program Sokongan Peralihan Luar Negara (OTS) dan Kumpulan Kepentingan Industri SGLN (SIIG) untuk meningkatkan sokongan kepada mereka yang berpotensi memimpin korporat.

EDB berkata pada masa hadapan, risiko kepada susunan global – daripada perdagangan yang retak kepada persaingan geopolitik – akan terus berkembang.

“Kami menjangkakan persaingan global yang sengit dan berterusan untuk pelaburan, dengan risiko iklim dan kemajuan teknologi akan mengganggu lagi industri.

“Perubahan struktur kepada landskap perniagaan global ini bermakna penciptaan pekerjaan akan menjadi lebih mencabar,” ujar EDB dalam kenyataannya.

Untuk terus menarik pelaburan yang mewujudkan pekerjaan dan peluang yang baik bagi rakyat Singapura, EDB berkata ia akan berusaha dalam beberapa bidang yang selaras dengan tumpuan Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR).

Ini termasuk memperkukuh kepimpinan Singapura dalam sektor pertumbuhan dengan bekerjasama dengan syarikat untuk mempercepat transformasi kilang menjadi operasi terbaik dalam kelasnya sambil melaksanakan inisiatif kemampanan.

Selain itu, ia juga akan mengejar peluang baru muncul untuk mewujudkan enjin pertumbuhan baru.

EDB juga akan menambat dan mengembangkan generasi baru perusahaan terkemuka dengan mengenal pasti, menarik dan menambat syarikat pertumbuhan tinggi yang berpotensi menjadi peneraju industri masa depan.

Bagi membantu rakyat Singapura merebut peluang dalam ekonomi yang berkembang, EDB berkata ia akan bekerjasama dengan syarikat dan rakan kongsi untuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran yang berkaitan dengan industri agar mereka dapat kekal berdaya saing.

Ini termasuk usaha seperti peningkatan kemahiran, latihan semula, perantisan dan laluan latihan luar negara, kata EDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg