Bayangkan suatu hari kelak, rakyat Singapura dapat menghidupkan peralatan elektrik di rumah dengan menggunakan bekalan elektrik yang dijana tenaga lebih bersih dan mampan keluaran sebuah syarikat kendalian Singapura.
Tambahan pula, teknologi tersebut juga membolehkan isi rumah menikmati bil elektrik yang lebih rendah di samping mengurangkan pergantungan negara pada bahan api fosil dalam usaha menyokong matlamat Singapura mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
Demikian antara impian Encik Hamzah Kamaruddin, 27 tahun, yang sedang memburu ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Bahan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Pusat Pengilangan Semula dan Teknologi Lanjutan (ARTC).
Bersama pasukannya dari NTU, mereka telah membangunkan HydroTech Solutions, satu kaedah tenaga alternatif baru yang boleh menghasilkan 15 peratus lebih hidrogen dan menggunakan 70 peratus logam yang kos efektif bagi proses penggubalan pemangkin atau catalyst formulation.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Encik Hamzah berkata pasukannya berharap teknologi itu dapat dipertingkatkan untuk menghasilkan tenaga hidrogen bersih dan menjadi sumber tenaga alternatif yang berdaya maju untuk Singapura dan juga negara-negara lain.
“Kami sudah mempunyai prototaip dalam makmal, dan ia telah menunjukkan hasil! Ciptaan kami mampu menjana lebih banyak hidrogen dan pada masa yang sama, ia juga dapat menjimatkan kos berbanding teknologi sedia ada lain berdasarkan penyelidikan kami.
“Kini, kami sedang berusaha untuk mencari pelabur yang mungkin berminat dengan komponen kami dan melihat sama ada kami boleh meningkatkannya kepada skala yang lebih besar supaya ia boleh dimasukkan ke dalam pasaran,” kata Encik Hamzah.
Secara asasnya, Encik Hamzah berkata prototaip tersebut mampu memisahkan molekul hidrogen yang terdapat dalam molekul air, yang kemudiannya boleh dimanfaatkan sebagai bentuk tenaga alternatif dan lebih mampan, selain bahan api fosil.
Pada 28 Oktober, Encik Hamzah dan pasukannya berpeluang membentangkan idea mereka kepada sekumpulan pelabur dan panel pakar di Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan harapan mendapat maklum balas dan cadangan tentang cara meningkatkan idea mereka.
Mereka adalah antara peserta kohort pertama yang mengambil bahagian dalam program sulung Program Usaha Niaga Iklim Singapura (SGCV), yang dilancarkan oleh NTU, NUS, dan Temasek pada Ogos selama 10 minggu, dengan sokongan daripada Breakthrough Energy.
Program pendidikan penerokaan pelaburan menyediakan peserta dari NUS dan NTU yang berpangkalan di Singapura akses kepada kepakaran teknologi iklim sejagat daripada rangkaian Temasek dan Breakthrough Energy, serta mengajar mereka bagaimana mereka boleh mengkomersialkan ciptaan mereka.
Sebanyak enam pasukan menyertai program sambilan tersebut yang terbuka kepada semua pelajar siswazah, zamil penyelidik dan rakan penyelidikan di NTU dan NUS.
Bagi Encik Hamzah, pasukannya dari NTU telah bekerjasama dengan pelajar-pelajar lain untuk membentuk pasukan projek seramai 7 orang bagi program tersebut, dan mereka juga menerima bimbingan dan tunjuk ajar daripada Naib Presiden bagi Teknologi Baru Muncul di Temasek, Dr Daniel Tay.
Berkongsi pengalamannya dengan BH, Encik Hamzah berkata beliau bersyukur dengan peluang bimbingan daripada Dr Tay, yang telah membimbing beliau dan pasukannya tentang cara untuk “menceritakan lebih tentang produk” mereka dan “cara untuk menjualnya” kepada mereka yang mungkin berminat untuk melabur.
“Saya sendiri seorang yang teknikal dan saya tidak tahu banyak tentang bidang perniagaan. Melalui program ini, pasukan kami dapat mempelajari cara pemikiran baru tentang perniagaan apabila ia berkaitan dengan teknologi dan iklim.
“Kami berterima kasih kepada Dr Tay yang berkongsi pengalamannya. Beliau juga seorang pelabur dan ahli perniagaan yang terpelajar, jadi saya rasa Temasek benar-benar memberi kami bimbingan yang kami perlukan serta berkongsi dengan kami apa yang pelabur sedang mencari,” kata Encik Hamzah.
Dr Tay berkata Temasek sedang berusaha untuk membina kumpulan bakat yang teguh dalam sektor teknologi iklim memandangkan terdapat jurang pelaburan iklim di Asia Tenggara sebanyak AS$1.5 trilion ($1.98 trillion) antara 2024 dengan 2030.
Untuk melakukan ini, beliau menambah adalah penting bagi Temasek mencari lebih banyak peluang perniagaan yang boleh dilaburkan untuk meningkat hasil penyahkarbonan, dan satu cara sedemikian ialah melalui program SGCV.
“Sebagai mentor dalam program ini, saya kagum dengan potensi pasukan dan komitmen mereka untuk menangani cabaran iklim di rantau ini melalui penyelesaian mereka.
“Saya optimis pasukan-pasukan ini akan memanfaatkan bimbingan pakar yang ditawarkan melalui program 10 minggu untuk membangunkan lagi projek mereka, dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan untuk rantau ini,” kata Dr Tay.
Ketika ditanya bagaimana beliau merancang meningkatkan prototaipnya menjadi perniagaan yang berdaya maju, Encik Hamzah berkata pasukannya sedang meneroka peluang membawa produk tersebut ke luar negara untuk mengatasi sekatan ruang dan tanah Singapura yang terhad.
“Mungkin sebuah kilang sebesar 2,000 kaki, yang boleh ditempatkan di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Pada masa yang sama, kami juga terbuka kepada negara dan peluang-peluang lain,” kata Encik Hamzah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg