Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temasek labur dalam firma dengan pelan hijau jelas

Oct 22, 2024 | 3:00 PM
Pengarah urusan bagi kemampanan Temasek, Cik Park Kyung-ahm, berkata Temasek bersedia menerima pulangan yang turun naik dalam jangka pendek, asalkan syarikat dalam portfolionya menuju ke arah yang betul dan dapat laksanakan sasaran jangka panjang mereka.
Pengarah urusan bagi kemampanan Temasek, Cik Park Kyung-ahm, berkata Temasek bersedia menerima pulangan yang turun naik dalam jangka pendek, asalkan syarikat dalam portfolionya menuju ke arah yang betul dan dapat laksanakan sasaran jangka panjang mereka. - Foto TEMASEK

Syarikat pelaburan Singapura, Temasek, sedang mengemudi strategi ke arah syarikat yang mempunyai rancangan penyahkarbonan yang jelas dan model perniagaan yang mampan, dengan matlamat untuk menjamin keuntungan jangka panjang.

Pengarah urusan bagi kemampanan Temasek, Cik Park Kyung-ah, berkata dalam temu bual bersama The Straits Times:

“Kejayaan syarikat portfolio kami adalah kejayaan kami (juga)... mereka berdaya tahan dan mereka mencipta nilai yang mampan akhirnya kembali kepada pulangan kami.”

Walaupun Temasek tidak campur tangan dalam keputusan syarikat secara langsung, ia melaksanakan hak mengundi sebagai pemegang saham, dan menggunakan hak tersebut untuk mendorong syarikat ke arah yang lebih mampan.

Ia juga melibatkan lembaga pengarah syarikat dan menetapkan sasaran untuk syarikat-syarikat yang telah menerima pelaburan daripada Temasek, kata Cik Park.

Strategi itu penting untuk Temasek merealisasikan matlamat kemampanannya, kerana sekitar 80 peratus daripada jumlah pelepasan dari portfolionya, disumbang oleh lima syarikat portfolionya, iaitu Singapore Airlines, Sembcorp Industries, Olam Group, PSA International dan ST Telemedia.

Menurut Cik Park, Temasek bersedia menerima pulangan yang turun naik dalam jangka pendek, asalkan syarikat dalam portfolionya menuju ke arah yang betul dan dapat laksanakan sasaran jangka panjang mereka.

“Kami melabur dengan memikirkan tentang generasi akan datang, dan dengan itu, kami perlu pastikan bahawa kami memantau arah tuju (syarikat) dan bahawa syarikat dalam portfolio kami siap untuk masa depan.”

Perubahan iklim telah mempengaruhi cara Temasek membuat pelaburan baru, kerana setiap syarikat yang dilaburkannya menambah kepada keseluruhan pelepasan karbon portfolio Temasek dan menjejas sasaran kemampanannya.

Cik Park menyatakan bahawa sekitar 90 peratus ekonomi terdiri daripada firma tanpa pendapatan ‘hijau’.

Beliau tekankan kepentingan membantu syarikat-syarikat ini beralih kepada amalan yang lebih mampan, kerana mereka adalah bahagian penting dalam ekonomi.

Untuk mencapai tujuan ini, Temasek menyediakan senarai semak dan penilaian khusus bagi pelepasan karbon sesebuah syarikat dan menilai prestasinya berbanding syarikat lain.

Cik Park menjelaskan bahawa Temasek tidak berhasrat menolak syarikat semata-mata kerana jejak karbonnya yang tinggi, tetapi akan menilai sama ada mereka mempunyai rancangan penyahkarbonan yang jelas.

Temasek menggunakan mekanisme penetapan harga karbon dalaman, bermakna syarikat yang mempunyai pelepasan karbon yang lebih tinggi perlu memberi pulangan yang lebih tinggi.

Jika tahap kemajuan kemampanan sesuatu syarikat tidak mencukupi, dan risiko pelaburan kekal tinggi, Temasek mungkin pertimbangkan untuk melepaskan pelaburan mereka, walaupun ini bukan pendekatan yang mereka utamakan.

Menjelang 2030, Temasek menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbonnya kepada 11 juta tCO2e.

Ini merujuk kepada tan karbon dioksida sepadan, iaitu unit ukuran standard yang digunakan dalam pengiraan pelepasan gas rumah hijau.

Temasek bercadang mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg