Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temasek peruntuk $100j bagi projek iklim

Sep 23, 2024 | 8:30 PM
Pengerusi Temasek Holdings, Encik Lim Boon Heng, pada acara majlis ulang tahun ke-50 Temasek di Hotel Shangri-La 
Pengerusi Temasek Holdings, Encik Lim Boon Heng, pada acara majlis ulang tahun ke-50 Temasek di Hotel Shangri-La  - Foto ZB

Syarikat pelaburan Singapura, Temasek, akan memperuntukkan $100 juta bagi menyokong projek-projek yang berusaha memerangi perubahan iklim dan kesannya, umum pengerusi syarikat berkenaan, Encik Lim Boon Heng.

Berucap pada majlis ulang tahun ke-50 Temasek di Hotel Shangri-La pada 23 September, Encik Lim berkata Temasek komited meletakkan kemampanan sebagai teras dalam semua perkara yang mereka lakukan.

Jumlah $100 juta itu akan diperuntukkan sebagai modal konsesi dan matlamatnya adalah untuk mengumpulkan modal bagi menyokong projek yang boleh penuhi syarat untuk mendapatkan modal bagi daya usaha mereka.

“Ini akan dibiayai oleh hadiah masyarakat kami, dan kami percaya boleh ada kesan pemangkin - dengan menggerakkan pembiayaan daripada sumber lain seperti penyedia modal awam, swasta dan dermawan.

“Dolar dermawan kami akan diperkukuh apabila lebih banyak pembiayaan disalurkan ke arah tindakan iklim,” kata beliau.

Sejak 2014, Temasek telah mengadakan Persidangan Ecosperity setiap tahun, di mana mereka melancarkan banyak pelaburan dan inisiatif untuk mempercepat peralihan hijau.

Semasa ucapannya itu, Encik Lim turut menyusuri sejarah dan perkembangan Temasek sepanjang lima dekad lalu.

Temasek maju daripada sebuah syarikat induk bagi aset pemerintah yang ditubuhkan pada 1974 sehingga menjadi sebuah syarikat pelaburan sejagat dengan portfolio bernilai $389 bilion hari ini.

Beliau mengaitkan perkembangan maju Temasek itu dengan tiga ciri dan prinsip - daya ketahanan, pertumbuhan dan tujuan.

Encik Lim berkata daya ketahanan Temasek membolehkan syarikat pelaburan itu pulih dan menyesuaikan diri dengan cepat kepada keadaan yang berubah.

Ini dapat dilihat melalui evolusi syarikat itu - daripada menjadi penjaga pasif aset negara kepada pelabur global yang aktif dan berani.

“Anda boleh melihatnya dalam Piagam Temasek, yang diperkenalkan pada 2002, dan sejak itu telah dikemaskini sebanyak tiga kali. Ia dokumen hidup evolusi kami sebagai sebuah syarikat,” kata beliau.

Sebagai syarikat pelaburan, Temasek bukan hanya tumbuh dari segi pulangan yang diraih, malah dalam geografi dan kakitangannya, kata Encik Lim.

Pada 2002, syarikat itu membuat keputusan strategik untuk berkembang di luar Singapura, dengan melabur dalam ekonomi Asia seperti China dan India.

Khususnya, Encik Lim berkata mereka mendapat manfaat daripada pelaburan di China dari tahun-tahun 2000-an hingga 2010-an sedang China berkembang.

Ini memberi mereka peluang untuk melabur ke pasaran lain, dengan Temasek memutuskan menjadi pelabur sejagat pada 2010 dan berkembang ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Dari segi kakitangan pula, Encik Lim berkata saiz kakitangan mereka telah berkembang daripada hanya lima orang dalam satu pejabat kecil pada 1974 kepada 1,000 orang di 13 pejabat dalam sembilan negara serata dunia hari ini.

Selain itu, syarikat itu mengembangkan juga rangkaian sahabat dan rakan kongsi mereka.

Encik Lim berkata kekuatan dan nilai Temasek terletak pada keupayaan mereka membina ekosistem rakan kongsi, syarikat dan bakat yang lebih luas, yang terbukti penting terutama semasa pandemik Covid-19.

Sebagai sebuah syarikat pelaburan, Encik Lim berkata Temasek dengan mudah boleh membuat keputusan untuk tertumpu hanya pada nombor kewangan mereka.

Namun, itu bukan tujuan mereka, dan beliau kagum dengan pandangan jauh dan keberanian pemimpin terdahulu ketika mereka menempa jalan ke hadapan untuk Temasek.

“Etos kami untuk ‘Melakukan yang Terbaik, Melakukan yang Betul, dan Berbuat Baik’, membimbing kami untuk sentiasa melakukan perkara hari ini dengan mengingati hari esok, supaya setiap generasi berjaya,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg