Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelantikan semula CEO OCBC sebagai pengarah Great Eastern dipertikai

Apr 16, 2025 | 5:17 PM
Soalan daripada pemegang saham menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik kepentingan, memandangkan Cik Helen Wong memegang peranan di kededua syarikat, Great Eastern (GE) dan Bank OCBC.
Soalan daripada pemegang saham menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik kepentingan, memandangkan Cik Helen Wong memegang peranan di kededua syarikat, Great Eastern (GE) dan Bank OCBC. - Foto fail

Ketegangan timbul semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) Great Eastern (GE) pada 14 April, apabila pemegang saham minoriti mempersoal pelantikan semula Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank OCBC, Cik Helen Wong, ke dalam lembaga pengarah syarikat insurans itu, di tengah-tengah usaha berterusan OCBC untuk menjadikan GE sebuah syarikat persendirian.

Ketika AGM itu dijalankan, pemegang saham minoriti membangkitkan laporan Bloomberg bertarikh 24 Januari, yang menyebut sumber agensi berita itu menyatakan Cik Wong telah bertemu beberapa pemegang saham GE untuk meyakinkan mereka supaya menjual saham mereka kepada OCBC. 

Laporan itu turut diterbitkan oleh The Straits Times (ST).

Cik Wong dilaporkan bertemu dua pemegang saham GE, Encik Wong Hong Sun dan abangnya, Encik Wong Hong Yen, serta wakil keluarga Encik Lee Thor Seng, bagi memujuk mereka supaya menyokong usaha OCBC membeli semua baki saham GE yang belum dimilikinya.

Secara keseluruhan, keluarga Lee dan adik-beradik Wong memegang kira-kira 3 peratus kepentingan dalam syarikat insurans itu.

Pemegang saham minoriti kemudian mendesak lembaga pengarah supaya mengesahkan apakah Cik Wong telah memberitahu mereka mengenai pertemuan tersebut, dan jika pihak lembaga telah menyemak kesahihan laporan Bloomberg itu.

Pengerusi GE, Encik Soon Tit Koon, memberi respons dengan berkata Cik Wong tidak memaklumkan lembaga tentang pertemuan yang beliau adakan sebagai CEO OCBC itu, dan mereka tidak mengesahkan laporan itu dengan Cik Wong.

“Lembaga tidak merasakan adalah tanggungjawab kami untuk mengesahkan laporan media,” kata Encik Soon.

Beliau turut berkata lembaga tidak mencampur tangan dalam urusan Cik Wong sebagai CEO OCBC, tetapi menegaskan jika terdapat isu penting yang boleh menjejas GE, Cik Wong seharusnya mengemukakannya kepada lembaga pengarah.

Beliau menambah bahawa memandangkan Cik Wong tidak membangkitkan isu pertemuan itu untuk dibincangkan, lembaga menganggap tiada perkara yang penting atau memberi kesan kepada GE dibincangkan.

Pemegang saham beberapa kali meminta Cik Wong, yang turut hadir dalam AGM itu, menjelaskan sendiri sama ada pertemuan tersebut benar-benar berlaku dan apa yang dibincangkan.

Namun, Encik Soon beberapa kali menolak soalan itu bagi pihak Cik Wong, dengan berkata Cik Wong hadir sebagai pengarah GE dan bukan sebagai CEO OCBC.

Beliau menambah bahawa mesyuarat agung GE bukan tempat yang sesuai untuk “sesetengah pemegang saham menyoal pemegang saham lain mengenai laporan media tertentu”, kerana ia “di luar skop mesyuarat ini”.

Encik Soon, mantan ketua pegawai kewangan (CFO) OCBC, dilantik sebagai pengerusi GE pada 2023.

Sementara itu, dagangan saham GE masih digantung, sekali gus menyekat pemegang saham menjual pegangan mereka dalam syarikat tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg