Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembangunan baru dekat Sungai S’pura dijangka siap jelang 2029

Union Square di Havelock Rd bakal tawar ruang komersial, kondo, kediaman bersama dan pejabat
Oct 11, 2024 | 5:04 PM
Union Square adalah pembangunan baru pelbagai guna berskala besar yang terdiri daripada menara pejabat premium (Union Square Central), 366 unit kediaman mewah (Union Square Residences), ruang kediaman bersama dengan lesen hotel, ruang runcit serta makanan dan minuman.
Union Square adalah pembangunan baru pelbagai guna berskala besar yang terdiri daripada menara pejabat premium (Union Square Central), 366 unit kediaman mewah (Union Square Residences), ruang kediaman bersama dengan lesen hotel, ruang runcit serta makanan dan minuman. - Foto CDL

Sebuah pembangunan baru pelbagai guna berskala besar di Havelock Road berhampiran Sungai Singapura, dengan 366 unit kondominium mewah, ruang kediaman bersama, dan ruang pejabat seluas lebih 300,000 kaki persegi, dijangka siap menjelang 2029.

Diberi nama Union Square, pembangunan oleh City Developments Limited (CDL) itu terletak di tapak lama Central Mall dan Central Square, kata pemaju hartanah tersebut dalam satu kenyataan akhbar pada 11 Oktober.

Previu bagi Union Square Residences, komponen kediaman dengan tempoh pajakan 99 tahun dan pembangunan seluas 735,500 kaki persegi itu, akan bermula pada 1 November dan tarikh pelancarannya akan diumumkan kemudian.

Antara rancangan pembangunan semula tapak itu ialah mengubah sebahagian dari Merchant Road dan Solomon Street menjadi laluan pejalan kaki, sejajar dengan rancangan pihak berkuasa mewujudkan laluan pejalan kaki antara Taman Fort Canning dengan Taman Pearl’s Hill.

Menurut CDL, pembangunan semula Central Mall dan Central Square sedang dijalankan di bawah skim Insentif Pembangunan Strategik (SDI) oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang membenarkan peningkatan 67 peratus dalam keluasan lantai kasar (GFA).

Skim SDI diperkenalkan pada 2019 untuk menggalak pembangunan semula bangunan lama menjadi pembangunan pelbagai guna yang lebih produktif.

Union Square akan terdiri daripada blok pejabat 20 tingkat, blok kediaman 40 tingkat yang menempatkan ruang komersial di dua tingkat pertama dan blok tiga tingkat dengan ruang komersial dan 134 unit kediaman bersama.

Ruang kediaman bersama itu akan beroperasi di bawah lesen hotel, membolehkan pengunjung membuat tempahan jangka pendek – kurang dari tujuh hari.

Union Square Residences akan dilengkapi dua kolam renang, dua rumah kelab, dan ruang kediaman yang bermula dari unit satu bilik tidur seluas 463 kaki persegi, unit empat bilik tidur seluas 1,518 kaki persegi, sehingga dua sky suite, dan sebuah unit penthouse.

Pembangunan Union Square juga melibatkan bangunan pemuliharaan yang akan menempatkan premis peruncitan, dan makanan dan minuman (F&B).

Secara keseluruhan, Union Square akan mempunyai sekitar 65 unit runcit.

CDL berkata ia merancang menganjurkan program di Union Square yang tertumpu pada warisan dan seni untuk menambah kemeriahan di kawasan Sungai Singapura, dan membina semangat kemasyarakatan dalam kalangan penduduk.

CDL menambah, amfiteater di Union Square akan “berfungsi sebagai nadi ruang luar” kawasan itu, dan memberi penghormatan kepada persembahan wayang tradisional atau opera Cina yang telah diadakan di sana sejak tahun 1800-an.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg