Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemegang saham Tesla saman Elon Musk

Jun 12, 2024 | 4:56 PM
Pemegang saham Tesla meminta mahkamah mengarahkan CEO Tesla, Encik Elon Musk (gambar), supaya memulangkan “keuntungan yang menyalahi undang-undang” daripada penjualan saham Tesla.
Pemegang saham Tesla meminta mahkamah mengarahkan CEO Tesla, Encik Elon Musk (gambar), supaya memulangkan “keuntungan yang menyalahi undang-undang” daripada penjualan saham Tesla. - Foto REUTERS

DELAWARE (Amerika Syarikat): Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat kenderaan elektrik Tesla, Encik Elon Musk, dituduh memperoleh berbilion dolar dengan menjual saham Tesla menerusi “maklumat dalaman”, menurut satu institusi pemegang saham dalam satu tuntutan mahkamah yang difailkan pada 11 Jun.

Tindakan tersebut turut meminta mahkamah agar mengarahkan Encik Musk supaya memulangkan “keuntungan yang menyalahi undang-undang” daripada penjualan saham Tesla itu.

Tuntutan tersebut dibuat dua hari sebelum satu undian penting melibatkan pemegang saham Tesla, yang akan menentukan sama ada pakej pendapatan sebanyak AS$56 bilion ($75.8 bilion) akan diberikan semula kepada Encik Musk.

Ini selepas seorang hakim di Delaware membatalkan pakej ganjaran tersebut untuk Encik Musk pada Januari lalu, kerana beliau mendapati Encik Musk telah mengawal proses meraih pendapatan itu “secara tidak wajar”.

Encik Musk dan adiknya, Encik Kimbal Musk, pengarah Tesla, menjual saham Tesla pada nilai gabungan AS$30 bilion antara 2021 dengan akhir 2022, dan meraih keuntungannya sebelum berita yang akan menyebabkan nilai saham Tesla merosot diketahui umum, menurut tuntutan tersebut yang difailkan oleh Sistem Persaraan Pekerja Rhode Island (ERSRI).

Encik Musk menjual saham tersebut menerusi manipulasi harga pasaran, dengan menyembunyikan rancangan beliau untuk menggunakan hasil jualan saham itu untuk membeli syarikat media sosial Twitter, yang kemudiannya dinamakan sebagai X, menurut tuntutan yang difailkan di Mahkamah Chancery di Delaware.

Encik Musk juga menjual saham Tesla setelah mengetahui bahawa bilangan kereta Tesla yang dihantar kepada pelanggan jauh lebih rendah daripada jangkaan awam, kata tuntutan itu.

ERSRI memiliki sekitar 140,000 saham Tesla. Dengan nilai saham ditutup pada AS$170.66 pada 11 Jun, saham Tesla milik ERSRI bernilai sekitar AS$24 juta.

Satu lagi saman serupa oleh seorang lagi pemegang saham Tesla, Encik Michael Perry, yang difailkan di mahkamah sama pada Mei lalu, menuduh Encik Musk melakukan dagangan dalaman dalam penjualan saham Tesla bernilai lebih AS$7.5 bilion pada akhir 2022.

Encik Musk kini masih melalui siasatan kawal selia bagi menentukan sama ada beliau melanggar undang-undang sekuriti persekutuan pada 2022 semasa beliau membeli saham Twitter. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg