Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendaftaran EV ‘plug-in’ naik 2 kali ganda pada separuh pertama 2025

Didorong jenama pasaran massa yang tawar harga setanding EV penuh
Aug 6, 2025 | 3:39 PM
BYD, PHEV, kenderaan elektrik
Sejak memperkenalkan Sealion 6 DM-i di Singapura pada Julai, BYD telah menerima lebih daripada 100 tempahan untuk model hibrid ‘plug-in’ tersebut. - Foto BYD SINGAPORE

Pendaftaran kenderaan elektrik hibrid ‘plug-in’ (PHEV) di Singapura pada separuh pertama 2025 meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2024.

Terdapat 215 PHEV yang didaftarkan, berbanding 96 pada tempoh yang sama pada 2024 dan melebihi jumlah keseluruhan 210 pendaftaran pada 2024.

Pertumbuhan itu didorong oleh jenama pasaran massa yang menawarkan PHEV pada harga setanding kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya, lapor The Business Times (BT).

Kadar PHEV daripada jenama pasaran massa juga meningkat dengan ketara.

Pada separuh pertama 2025, 80 PHEV daripada jenama pasaran massa didaftarkan, mewakili 37.2 peratus daripada jumlah pendaftaran. 

Pada 2024, hanya 23 pendaftaran, mewakili 11 peratus daripada jumlah keseluruhan, berbanding 6.8 peratus pada separuh pertama 2023 dengan 18 PHEV daripada jenama pasaran massa.

Jenama mewah mewakili baki pendaftaran bagi tempoh tersebut.

Pendaftaran 215 PHEV pada separuh pertama 2025 masih kecil, hanya mewakili 0.9 peratus daripada 23,957 pendaftaran kenderaan keseluruhan, berbanding EV yang menyumbang 41 peratus dengan 9,822 pendaftaran.

Sesetengah pengamat berpendapat pengambilan PHEV mungkin meningkat apabila subsidi EV dikurangkan, sementara yang lain merasakan ia akan kekal sebagai pilihan bagi golongan tertentu.

PHEV lebih cekap berbanding hibrid petrol-elektrik kerana dilengkapi bateri dan motor elektrik yang memulihkan tenaga. 

Berbeza dengan hibrid petrol-elektrik, PHEV mempunyai pek bateri lebih besar yang boleh dicas luar, dengan sesetengah model menawarkan jarak elektrik hingga 100 kilometer.

Walaupun EV dan PHEV telah diperkenalkan di Singapura selama 10 tahun, pengambilan EV jauh mengatasi PHEV sejak 2021, apabila insentif khusus EV mula diperkenalkan.

Pada masa ini terdapat insentif maksimum sebanyak $40,000 untuk EV dan $2,500 untuk PHEV.

Kekurangan subsidi dan pek bateri PHEV yang lebih besar menyebabkan kenderaan ini lebih mahal dan menjadikannya pilihan mewah.

Pada 2024, model PHEV baru dengan harga kompetitif berbanding EV telah diperkenalkan.

Pendaftaran 47 unit PHEV Chery pada H1 2025, didorong oleh model Jaecoo J7 kenderaan utiliti sukan (SUV).

Dengan harga $214,888, termasuk Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), kereta itu mahal sedikit berbanding pesaing EV seperti Tesla Model Y (daripada $204,578), tetapi lebih murah daripada hibrid konvensional seperti Nissan X-Trail dan Toyota RAV4 (daripada sekitar $250,000).

Begitu juga dengan PHEV pertama BYD di Singapura, Sealion 6 DM-i SUV, yang diperkenalkan pada Julai.

Pada harga $212,888, harganya hampir sama dengan BYD Sealion 7 elektrik sepenuhnya (daripada $206,388) dan hibrid konvensional Toyota Harrier (daripada $215,900).

Walaupun BYD hanya mendaftar enam PHEV pada H1 2025, angka ini dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana mereka telah menerima lebih daripada 100 pesanan untuk Sealion 6 setakat ini.

“PHEV kini sangat berpatutan, terutamanya untuk pengeluar China, yang memiliki pengalaman luas dalam pembangunan PHEV, sokongan pemerintah, dan skala ekonomi yang besar,” kata Editor Sgcarmart.com, Encik Desmond Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg