Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendedahan sektor kewangan S’pura kepada Adani terhad

Nov 26, 2024 | 2:31 PM
Adani Group ialah konglomerat terbesar India, dengan perniagaan di seluruh dunia merangkumi pelabuhan, lapangan terbang, perkilangan dan tenaga.
Adani Group ialah konglomerat terbesar India, dengan perniagaan di seluruh dunia merangkumi pelabuhan, lapangan terbang, perkilangan dan tenaga. - Foto EPA-EFE

Pendedahan Singapura kepada konglomerat India yang bermasalah, Adani Group, nampaknya terhad setakat ini, menurut semakan yang dibuat oleh The Straits Times (ST).

Ini termasuk sektor perbankan tempatan, di mana pendedahan keseluruhan kepada Adani Group adalah kecil, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

MAS menjawab pertanyaan daripada ST pada 25 November berhubung pendedahan Singapura kepada Adani Group, yang terlibat dalam satu kes dakwaan di Amerika Syarikat.

Adani Group ialah konglomerat terbesar India, dengan perniagaan di seluruh dunia merangkumi pelabuhan, lapangan terbang, perkilangan dan tenaga.

“Bank-bank telah mengambil beberapa langkah untuk menyemak dan mengurus pendedahan mereka kepada peminjam dan rakan niaga,” kata seorang jurucakap MAS.

Pendakwa di Amerika mendakwa bahawa pengerusi Adani Group, Encik Gautam Adani, bersama tujuh individu lain termasuk anak saudaranya, telah berjanji untuk membayar rasuah kepada pegawai pemerintah India untuk memenangi kontrak tenaga suria.

Rasuah itu dikatakan melebihi AS$250 juta ($336.2 juta) untuk kontrak tenaga suria yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion bagi tempoh 20 tahun.

Pendakwa itu mendakwa bahawa rancangan tersebut kemudiannya disembunyikan ketika kumpulan itu cuba mendapatkan wang daripada pelabur Amerika.

Dakwaan itu didedahkan pada 20 November, mencetuskan kejatuhan nilai pasaran sebanyak AS$27 bilion dalam syarikat tersenarai di bawah payung Adani Group, lapor Reuters pada 22 November.

Adani Group berkata tuduhan itu tidak berasas dan ia akan mendapatkan “semua tindakan undang-undang yang sewajarnya”.

Adani Group sudah mempunyai perniagaan di Singapura selama lebih dua dekad.

Pejabat tempatan mereka adalah ibu pejabat bagi operasi kumpulan itu di Asia Tenggara.

Pada Februari 2023, dilaporkan bahawa firma pelaburan Singapura, Temasek, melalui anak syarikatnya, Camas Investments, memiliki pegangan kecil hanya lebih 1.2 peratus dalam Adani Ports dan Zon Ekonomi Khas yang disenaraikan di India.

Temasek kemudiannya melepaskan pegangan tersebut pada 2023 dan kini tidak mempunyai pelaburan dalam Adani, menurut dokumen awam di laman web Adani Ports.

Pada Oktober 2022, Adani dilaporkan sedang dalam perbincangan awal dengan pelabur – termasuk Temasek dan dana kekayaan negara Singapura, GIC – untuk mengumpul sekurang-kurangnya AS$10 bilion bagi membiayai pengembangan Adani Group ke dalam sektor tenaga bersih, pelabuhan dan simen.

GIC enggan mengulas apabila dihubungi ST.

Adani Group juga menjalankan perniagaan minyak makan dan makanan di India melalui usaha sama dengan Wilmar International yang tersenarai di Singapura.

Saham Adani Wilmar, yang disenaraikan di India, telah jatuh sebanyak 10 peratus sejak 20 November.

Wilmar juga enggan mengulas ketika dihubungi ST.

Masalah konglomerat itu juga mungkin memberi kesan kepada ekosistem kewangan yang lebih luas.

Salah satu contoh adalah melalui 770 dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh dunia yang mempunyai pendedahan kepada Adani Green Energy, yang telah kehilangan kira-kira satu perempat daripada nilainya sejak Adani didakwa, lapor Bloomberg.

Dana ESG ialah dana pelaburan yang memberi tumpuan kepada syarikat yang memenuhi kriteria ESG tertentu.

Dana sedemikian juga tersedia untuk pelabur di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg