Pengguna PayNow boleh menjangkakan pengalaman pembayaran lebih lancar di bawah usaha penambahbaikan baru yang diumumkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Bank Singapura (ABS).

Ini termasuk pengalaman pembayaran QR bersepadu bagi pengguna tempatan dan pelancong yang menggunakan kod QR PayNow dan Nets, serta pengalaman pembayaran dalam talian yang dipertingkat bagi pelanggan yang membeli-belah di platform e-dagang dan peniaga utama.

Urus niaga bernilai lebih besar bagi pembayaran terpilih kepada pemerintah juga sedang dikaji, di samping pilihan pembayaran lebih luas untuk menyokong perniagaan, termasuk urus niaga bernilai rendah namun lebih kerap serta ketersambungan rentas sempadan yang diperluas.

Cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada kajian ‘PayNow Generation 2’ yang diumumkan pada 25 Jun.

Ia bertujuan untuk mempersiapkan prasarana pembayaran nasional Singapura bagi memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang sedang berubah.

Pada masa ini, para peniaga memproses pembayaran melalui bank PayNow atau Nets.

Namun, tidak semua aplikasi perbankan atau dompet digital boleh mengimbas kod QR Nets, dan aplikasi Nets juga tidak boleh mengimbas serta membuat pembayaran kepada kod QR PayNow.

MAS dan ABS turut menyasarkan agar fungsi pembayaran dalam talian lebih lancar ini dapat disediakan dalam tempoh setahun.

Buat masa ini, pengguna yang membuat pembelian dalam talian perlu menyimpan kod QR PayNow terlebih dahulu, sebelum beralih ke aplikasi perbankan mereka untuk menyelesaikan pembayaran dan kemudian kembali semula ke laman web peniaga tersebut.

Di bawah penyepaduan yang dicadangkan, pengguna akan dibawa terus dari laman web atau aplikasi peniaga ke aplikasi perbankan atau dompet digital mereka, dengan butiran pembayaran sudah diisi terlebih dahulu.

Ujian bagi urusan pembayaran kepada pemerintah yang bernilai lebih besar akan bermula pada 2027, manakala persediaan untuk meluaskan keupayaan bagi keperluan perniagaan akan bermula pada 2026, jelas MAS dan ABS.

Dalam kajian berkenaan, prestasi PayNow telah dibandingkan dengan sistem pembayaran di 11 negara iaitu Australia, Brazil, China, Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia, Thailand, Sweden, Switzerland dan United Kingdom.

Kajian itu mendapati PayNow menunjukkan prestasi baik dalam aspek seperti kadar penggunaan dan capaian, penetapan harga, serta pengalaman teras pengguna.

Ia turut mengenal pasti ruang bagi penambahbaikan dalam keupayaan pengguna lanjutan, seperti pembayaran dengan kebenaran terlebih dahulu dan pembayaran berulang selain aliran pembayaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) serta had urus niaga lebih tinggi.

PayNow dilancarkan pada 2017 sebagai khidmat pemindahan wang rakan-ke-rakan (peer-to-peer) bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk menjadikan pemindahan wang lebih mudah dan lancar.

Ini selain membolehkan pemindahan bank secara masa nyata tanpa perlu berkongsi butiran akaun bank.

Seorang jurucakap MAS memberitahu The Straits Times (ST) pada April bahawa lebih 90 peratus penduduk dan perniagaan di Singapura menggunakan PayNow, menurut data daripada ABS.