Pengasas Singapura bagi beg tangan terkenal berjenama Aupen, Encik Nicholas Tan, telah diarah supaya menyiarkan notis pembetulan pada halaman Instagram peribadi dan perniagaannya berhubung dakwaan yang dibuat terhadap Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura (Ipos).
Pejabat Pofma, yang mentadbir Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian, telah diarahkan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, supaya mengeluarkan arahan pembetulan kepada Encik Tan dan Aupen, di bawah undang-undang berita palsu Singapura, kata Kementerian Undang-Undang pada 22 September.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), Encik Tan telah tiga kali mendakwa secara berasingan pada September, bahawa Ipos memberitahunya supaya tidak meneruskan pertikaian tanda dagangan dengan gergasi runcit Amerika Syarikat, Target kerana kemungkinan beliau akan kalah dan berkata undang-undang tanda dagangan Singapura mengutamakan perniagaan asing berbanding perniagaan tempatan.
Beliau juga berkata Ipos telah memberitahunya pembaharuan undang-undang terhadap pendaftaran tanda dagangan berniat jahat di Singapura adalah mustahil dan pejabat tersebut memberi nasihat sambil lewa dalam kenyataan awam pada 11 September.
Kenyataan itu dimuatnaikkan sekali ke halaman Instagram rasmi Aupen dan tiga kali ke halaman peribadi Instagram Encik Tan.
Ia telah tamat tempoh atau dibuang.
Encik Tan perlu menerbitkan notis pembetulan pada kedua-dua halaman dengan menyatakan bahawa hantaran yang disiarkan pada 9 September, 15 September dan 16 September adalah kenyataan fakta palsu, dengan pautan laman web kepada penjelasan pemerintah.
Menurut penjelasan pemerintah di laman web semakan faktanya, Factually, dakwaan Encik Tan “berisiko menjejas keyakinan orang ramai terhadap kekuatan rejim tanda dagangan Singapura dan kesaksamaan Ipos sebagai pentadbir rejim dan pendaftaran tanda dagangan”.
Kenyataan beliau juga memberikan “pandangan yang merosakkan dan mengelirukan bahawa perniagaan tempatan tidak sepatutnya mempertahankan hak cipta intelektual mereka terhadap perniagaan asing”.
Encik Tan, bekas perenang kebangsaan, menerbitkan ulasannya di tengah-tengah kemungkinan wujudnya pertikaian tanda dagangan di Amerika antara jenama beg tangannya, Aupen dengan Target.
Target sedang mempertimbangkan untuk menentang percubaan Aupen untuk mendaftarkan tanda dagangannya di peringkat antarabangsa, termasuk di Amerika, memetik kemungkinan tercetus kekeliruan dengan pakaian dalam dan pakaian tidur Target, Auden.
Syarikat itu mempunyai masa sehingga 24 September untuk memfailkan bantahan terhadap permohonan Aupen kepada pejabat tanda dagangan Amerika.
Ipos telah menghubungi Encik Tan untuk “menawarkan sokongan” selepas mengetahui kemungkinan masalah tanda dagangan itu menerusi hantaran oleh Aupen itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg