Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelawak Sammy Obeid kena arahan Pofma

Sep 1, 2025 | 8:51 PM
Pelawak Amerika Syarikat, Sammy Obeid.
Pelawak Amerika Syarikat, Sammy Obeid. - Foto INSTAGRAM SAMMY OBEID

Pelawak Lubnan-Palestin Amerika Syarikat, Sammy Obeid telah dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) kerana mendakwa dua persembahan komedirinya di Singapura dibatalkan disebabkan penapisan pemerintah.

“Perincian Encik Obeid tentang interaksi yang berlarutan dengan pemerintah adalah tidak tepat.

“Pembatalan itu tiada kaitan dengan kandungan,” kata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam kenyatannya pada 1 September.

Dalam hantaran Instagram pada 27 Ogos, Encik Obeid, menyifatkan beberapa pusingan penyuntingan skrip oleh pemerintah sebagai sebab yang akhirnya menyebabkan permohonan lesen persembahannya ditolak.

Walaupun beliau tidak menamakan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), pelawak itu memberikan gambaran bahawa pihak berkuasa Singapura yang meminta suntingan.

IMDA menafikan perkara itu pada 28 Ogos, dengan mengatakan ia tidak pernah meminta suntingan skrip.

IMDA berkata ia telah menolak persembahan itu kerana permohonan daripada wakil tempatan Encik Obeid dibuat pada 15 Ogos pada 11.57 malam – 10 hari bekerja sebelum pelawak itu dijadual membuat persembahan.

Lesen hiburan seni diperlukan untuk pelbagai persembahan awam di Singapura, termasuk teater, tarian, pameran seni, bacaan sastera dan komediri atau stand-up.

Pada 31 Ogos, Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata satu-satunya sebab permohonan Encik Obeid untuk mendapatkan permit persembahan di Singapura ditolak adalah kerana ia dihantar terlalu lewat.

IMDA ialah pihak berkuasa yang ditetapkan untuk proses ini, dan mempunyai kuasa untuk meminta pertukaranpada skrip sebelum ia diluluskan.

Dalam kenyataannya pada 1 September, MDDI menekankan bahawa IMDA “tidak pernah membincangkan skrip Encik Obeid atau kandungannya dengan beliau atau wakilnya”.

Ia menambah bahawa IMDA juga “tidak pernah meminta suntingan, atau mencadangkan untuk mengalih keluar sebarang bahan” dan bahawa “pembatalan itu tiada kaitan dengan kandungan”.

“Jelasnya, tiada satu pun perkara ini berlaku,” kata MDDI.

MDDI turut membalas kiriman Instagram terbaru Encik Obeid pada 31 Ogos, di mana beliau menafikan bahawa dirinya telah berbohong.

Hantaran pada 31 Ogos itu menunjukkan dua klip video di mana seorang yang tidak dikenali memberitahunya melalui telefon untuk membuang “apa-apa yang ada kaitan dengan Palestin dan Israel”.

“Kami mengetahui tentang dakwaan berdasarkan rakaman perbualan peribadi. IMDA bukan sebahagian daripada perbincangan itu.

“Ia tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan – secara langsung atau tidak langsung – dengan Encik Obeid atau wakilnya tentang skrip, dan pastinya tidak pernah meminta sebarang suntingan atau mengeluarkan sebarang bahan,” kata MDDI.

MDDI berkata ia telah mengeluarkan perintah Pofma kerana dakwaan Encik Obeid berisiko menyebabkan salah faham yang serius, menghakis kepercayaan orang ramai terhadap peranan pelesenan IMDA dan mencetus sentimen orang ramai mengenai krisis di Gaza, yang sudah menjadi isu sensitif.

Ia menambah: “Kami tahu ramai rakyat Singapura sangat mengambil berat tentang Gaza. Kami mahu meyakinkan semua orang bahawa kes ini bukan untuk menyekat suara sesiapa.

“Rakyat Singapura akan sentiasa mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan mereka secara munasabah dan membina berhubung Gaza dan isu-isu penting lain.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg