Pengeluaran kilang Singapura merosot pada Ogos, menamatkan pertumbuhan selama 13 bulan berturut-turut berikutan pengeluaran farmaseutikal dan elektronik yang susut.
Penganalisis berkata pengeluar yang bergantung pada eksport di sini akan menghadapi kesukaran.
Hal itu berlaku susulan penghantaran ke luar negara yang terus merosot ekoran duti import Amerika Syarikat yang lebih tinggi ke atas lebih 90 negara yang berkuat kuasa pada 7 Ogos.
Dalam kenyataan terbaru pada 25 September, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan duti import 100 peratus ke atas barangan farmaseutikal berjenama atau dilindungi paten, bermula 1 Oktober.
Pengumuman duti import ke atas semikonduktor dijangka menyusul tidak lama lagi, lapor The Straits Times (ST).
Jumlah pengeluaran kilang secara keseluruhan susut 7.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, selepas mencatat peningkatan 7.7 peratus yang disemak pada Julai, menurut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Prestasi itu jauh lebih buruk berbanding unjuran penurunan 1.9 peratus oleh pakar ekonomi.
Tidak termasuk industri bioperubatan yang tidak menentu, pengeluaran kilang susut 2.9 peratus.
Mengikut asas pelarasan musim bulan ke bulan, pengeluaran perkilangan merosot 9.7 peratus. Tanpa mengambil kira pengeluaran bioperubatan, ia susut 3.5 peratus.
Pengeluaran sektor bioperubatan paling terjejas, mencatatkan penguncupan 37.3 peratus.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, pengeluaran dalam sektor ini susut 3.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Segmen farmaseutikal khususnya mencatat penurunan 59.3 peratus berbanding asas tinggi pada 2024, disebabkan perubahan dalam jenis bahan farmaseutikal yang dihasilkan.
Sebaliknya, segmen teknologi perubatan mencatat pertumbuhan 5.3 peratus berikutan permintaan eksport berterusan bagi peranti perubatan.
Pakar ekonomi kanan di Bank DBS, Encik Chua Han Teng, berkata prestasi sektor perkilangan dijangka kekal tidak menentu sepanjang 2025 kerana kilang-kilang yang bergantung pada eksport di Singapura terus menghadapi “risiko penyusutan akibat ketidaktentuan landskap sejagat”.
Beliau menambah, Singapura akan menerima kesan tambahan susulan pengumuman rundingan duti sektor tertentu oleh Encik Trump, termasuk duti 100 peratus ke atas import barangan farmaseutikal berjenama atau dilindungi paten bermula 1 Oktober.
Sektor elektronik pula menyaksikan penurunan 4.8 peratus dalam jumlah pengeluaran, selepas mencatat kenaikan besar pada Julai.
Infokom dan elektronik pengguna merupakan satu-satunya segmen dalam sektor itu yang mencatat peningkatan dalam pengeluaran, dengan kenaikan 42.4 peratus berikutan pengeluaran produk berkaitan server yang lebih tinggi.
Segmen lain turut mencatat penguncupan, dengan semikonduktor turun 8.8 peratus; modul dan komponen elektronik lain turun 13.1 peratus; dan segmen peranti persisian komputer dan storan data menyusut 16.8 peratus.
Sektor perkilangan am pula menyaksikan penguncupan ketara sebanyak 13.9 peratus.
Segmen makanan, minuman dan tembakau susut 15.9 peratus ekoran pengeluaran minuman, produk tenusu dan bakeri yang lebih rendah.
Pengeluaran kimia meningkat 3.5 peratus, dengan segmen petroleum mencatat pertumbuhan 12.4 peratus, manakala segmen petrokimia merosot 18 peratus – kedua-duanya disebabkan oleh penutupan sementara loji untuk penyelenggaraan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg