Kegiatan keseluruhan sektor perkilangan Singapura kembali stabil pada Ogos, sejajar dengan peningkatan umum yang dilihat di rantau ini.
Indeks pengurus pembelian (PMI) Singapura mencatat bacaan 50 pada Ogos, naik 0.1 mata, selepas turun sedikit pada Julai, menurut data Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) pada 2 September.
Bacaan melebihi 50 menunjukkan pertumbuhan.
“Bacaan 50 ialah garisan pemisah antara penguncupan dan pertumbuhan, jadi ia boleh dianggap sebagai keadaan ‘limbo’ (di tengah-tengah),” kata Ketua Ekonomi OCBC, Cik Selena Ling.
Cik Ling menambah bahawa pengilang mungkin mengharapkan kesan tarif timbal balik yang berkuat kuasa pada 7 Ogos “kurang membebankan daripada yang diramalkan”, meskipun mereka kekal berhati-hati terhadap kemungkinan dikenakan tarif tambahan dalam sektor tertentu.
Sementara itu, PMI sektor elektronik mencatat peningkatan lebih sederhana dengan kenaikan 0.2 mata kepada 50.4, dengan Ogos merupakan bulan ketiga berturut-turut sektor itu menunjukkan pertumbuhan.
Ahli ekonomi bersekutu UOB, Encik Jester Koh, berkata pertumbuhan itu menunjukkan “permintaan akhir yang kekal kukuh”.
“Ini kemungkinan disebabkan gabungan langkah syarikat mempercepatkan penghantaran barang menjelang kemungkinan tarif khusus di Amerika Syarikat ke atas sektor semikonduktor… serta permintaan berstruktur berkaitan kecerdasan buatan (AI) daripada Amerika,” jelas Encik Koh.
Beliau menambah bahawa lonjakan pelaburan domestik swasta kasar Amerika dalam peralatan pemprosesan maklumat dan harta intelek pada suku-suku terkini mencerminkan permintaan berstruktur berkaitan AI daripada Amerika.
Namun, ahli ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng, menjangkakan pengilang elektronik akan menghadapi “badai yang bakal menjelang” akibat ketidakpastian daripada tarif sektor khusus Amerika ke atas semikonduktor, meskipun pengecualian tertentu mungkin dapat mengurangkan kesannya.
Di China, bacaan rasmi PMI naik 0.1 mata kepada 49.4 namun kekal dalam fasa penguncupan, lapor The Business Times (BT).
Aktiviti perkilangan di Korea Selatan dan Taiwan pula menunjukkan pertumbuhan, meskipun PMI masing-masing kekal dalam penguncupan.
PMI Perkilangan S&P Global Korea Selatan mencatatkan bacaan 48.3 pada Ogos, naik 0.3 mata berbanding Julai, manakala PMI Taiwan meningkat 1.2 mata kepada 47.4.
Mengulas kegiatan perkilangan di peringkat global, pengarah ekonomi bersekutu di S&P Global Market Intelligence, Cik Annabel Fiddes, berkata perniagaan sering menyatakan bahawa ketidakpastian terhadap dasar perdagangan Amerika pada masa akan datang menyebabkan pelanggan lebih berhati-hati untuk melaksanakan projek baru.
“Apabila terdapat kepastian lebih baik mengenai hubungan perdagangan masa depan dengan Amerika, ia mungkin akan meningkatkan keyakinan dan membantu meletakkan sektor ini kembali ke landasan pertumbuhan,” jelas Cik Fiddes.
Di Asia Tenggara, Thailand mencatat bacaan PMI tertinggi pada 52.7, meningkat 0.8 mata berbanding Julai.
Ini merupakan kadar pertumbuhan terpantas negara itu sejak Julai 2024.
“Pertumbuhan pesanan baru meningkat dengan kadar yang kukuh, mendorong kenaikan pengeluaran yang ketara.
“Keyakinan perniagaan turut meningkat dan dilihat dalam tindakan pengilang yang meningkatkan aktiviti pembelian mereka dan (berusaha) mengambil lebih ramai kakitangan,” kata pengarah ekonomi bersekutu di S&P Global Market Intelligence, Cik Pan Jingyi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg