Syarikat media, mm2 Asia, yang mengendalikan rangkaian pawagam Cathay Cineplexes, telah mencadangkan pengeluaran sebanyak 1,875 juta saham pada harga minimum 0.8 sen sesaham, untuk mengumpul dana bagi pembayaran hutang dan modal kerja syarikat itu.
Jika kesemua saham tersebut dibeli oleh pelabur pada harga minimum tersebut, mm2 dijangka mengumpul hasil bersih sebanyak $14 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak $7.5 juta akan digunakan untuk membayar hutang dan liabiliti mm2, manakala baki wang tersebut akan digunakan sebagai modal kerja am syarikat itu.
Cadangan penerbitan saham tersebut adalah “sebahagian usaha berterusan syarikat ini untuk memperkukuh kedudukan kewangannya” dan akan turut meningkatkan aliran tunai syarikat itu, kata mm2, dalam satu kenyataan pada 4 Julai.
Pengumuman tersebut dibuat selepas Cathay menerima tuntutan bayaran hutang sebanyak $3.4 juta daripada pemilik pusat beli-belah Jem, bagi sewaan tertunggak cawangan pawagamnya di lokasi tersebut, lapor The Business Times (BT).
Pawagam Cathay di pusat beli-belah Jem ditutup pada Mac.
Harga tawaran saham tersebut akan ditetapkan pada 0.8 sen sesaham atau pada harga purata wajaran volum (VWAP) sesaham, sepanjang 30 hari sebelum tarikh kelulusan oleh pemegang saham, jika VWAP lebih tinggi daripada 0.8 sen.
Harga minimum 0.8 sen tersebut adalah 14.3 peratus lebih tinggi daripada VWAP, iaitu 0.7 sen, berdasarkan harga dagangan saham mm2 pada 4 Julai.
Saham mm2 ditutup pada harga sama pada hari tersebut, susut 0.1 sen atau 12.5 peratus.
Jika saham baru mm2 dibeli sepenuhnya, jumlah sebanyak 1,875 juta saham itu akan membentuk 22.3 peratus daripada modal saham mm2, selepas pengeluaran saham baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg