Pelakon Malaysia, Pekin Ibrahim, 43 tahun, meluahkan perasaan kecewa kerana filem Kulit Wayang tidak dapat sambutan dari penonton seperti filem ‘box office’ (pecah panggung) yang lain.
Filem arahan Dain Said diterajui Pekin dan pelakon popular Fattah Amin itu ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 8 Mei. Ia turut ditayangkan di Singapura di Cathay Cineplexes namun sudah tamat siaran.
Pekin turut berkata dirinya kecewa kutipan filem itu tidak seperti diharapkannya.
“Memanglah, saya kecewa dengan kutipan sebegitu. Cuma saya faham faktor untuk dapat kutipan filem ‘box office’ (pecah panggung) itu banyak.
Mungkin rezeki filem Kulit Wayang sudah ditentukan sebegitu,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, beliau tetap bersyukur kerana filem itu turut menerima maklum balas positif dari penonton.
“Sebenarnya, masih ramai lagi yang suka dan memuji filem Kulit Wayang.
“Bagi saya, filem ini bukan gagal cuma tidak mendapat kutipan seperti filem pecah panggung yang lain.
“Tapi untuk konsep cerita macam ini, penerimaan penonton yang memberi ulasan positif dan menyukai filem itu sudah buat saya cukup puas,” katanya.
Ditanya kelemahan dari segi pemasaran filem itu pula, kata Pekin, mungkin kewujudan Kulit Wayang masih tidak sampai kepada masyarakat.
“Bukan tiada tapi kurang sampai ke pengetahuan masyarakat untuk beritahu kewujudan filem itu di pawagam Malaysia.
“Saya percaya, filem berbentuk seni seperti ini ada peminatnya tersendiri dan semua filem juga ada kelebihan masing-masing.
“Untuk tarik penonton ke pawagam, saya percaya aspek promosi adalah kunci terbesar.
“Bukan tiada promosi mungkin pilihan pihak pemasaran yang dibuat kurang tepat atau persaingan yang hebat dari kalangan filem lain yang lebih besar,” kata pelakon yang turut membintangi filem Bunohan dan Rock Oo!.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg