Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maklumat 146 pemegang polisi Income Insurance terjejas akibat serangan siber

May 29, 2025 | 7:11 PM
Income Insurance , datapost, maklumat terdedah
Maklumat yang terdedah termasuk nama, alamat pos, nombor polisi dan pelan, serta bonus tahunan bagi tahun 2024. - Foto fail

Maklumat peribadi dan polisi sekurang-kurangnya 146 pemegang polisi Income Insurance telah terjejas susulan serangan perisian tebusan atau ‘ransomware’ terhadap vendor luar yang dilantik oleh syarikat insurans tersebut.

Satu kenyataan di laman web Income pada 29 Mei berkata pihaknya dimaklumkan pada 25 Mei mengenai serangan perisian tebusan yang melibatkan DataPost, syarikat yang bertanggungjawab untuk mencetak dan menghantar dokumen kepada pemegang polisi Income.

Perisian tebusan atau ‘ransomware’ ialah sejenis pemerasan digital yang menyaksikan penggodam menyulitkan data mangsa – individu, syarikat atau institusi – dan meminta wang sebagai ‘tebusan’ untuk memulihkannya.

Penyiasatan awal oleh DataPost mendapati penyata bonus sekurang-kurangnya 146 pemegang polisi telah terjejas, menurut Income.

Syarikat itu menambah bahawa siasatan masih berjalan dan jumlah pelanggan yang terjejas mungkin bertambah, lapor The Straits Times (ST).

Penyata tersebut mengandungi maklumat seperti nama, alamat pos, nombor polisi dan pelan, serta bonus tahunan bagi tahun 2024.

“Sistem Income Insurance kekal selamat dan tidak terjejas atau dipengaruhi oleh kejadian itu.

“Setakat ini, tiada bukti akses tanpa kebenaran ke mana-mana platform digital atau sistemnya,” kata syarikat insurans tersebut.

Income menambah, ia segera menggantung semua kerja cetakan dengan DataPost selepas dimaklumkan mengenai serangan siber tersebut.

Income turut menegaskan ia kini dalam keadaan “berwaspada tinggi” untuk memantau kegiatan akaun yang mencurigakan atau luar biasa, dan sedang menghubungi pelanggan yang terjejas atau mungkin terjejas oleh kejadian ini.

Pada 29 Mei, Income mengirimkan e-mel kepada pemegang polisi yang terjejas, mengesahkan polisi mereka selamat dan tiada maklumat log masuk yang terdedah.

E-mel itu juga memberi nasihat mengenai langkah-langkah perlindungan terhadap percubaan memancing data atau ‘phishing’.

DataPost mengesahkan penyiasatan ke atas serangan siber itu masih pada “peringkat awal” dan mereka akan terus mematuhi kewajipan peraturan. 

“Keselamatan data kami adalah keutamaan dan kami akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu,” kata jurucakap mereka.

Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) Singapura juga mengesahkan mereka sedang menyiasat kejadian ini.

Menurut laman web Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Income Insurance mempunyai sekitar 2 juta pelanggan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg