Sekurang-kurangnya $1.7 juta lesap sejak Januari dalam enam kes membabitkan penipu yang mengumpan mangsa kononnya premium insurans tertunggak, kata polis dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 14 Mac.
Dalam kes sebegini, mangsa menerima panggilan daripada penipu yang berpura-pura menjadi wakil atau pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Income Insurance, UnionPay (syarikat khidmat kewangan) dan MAS.
Mangsa diberitahu bahawa mereka mempunyai premium tertunggak yang terikat dengan polisi insurans hayat mereka yang baru atau akan tamat tempoh, lapor The Straits Times.
Panggilan itu akan dialihkan kepada penipu lain, yang mendakwa daripada Income Insurance atau UnionPay, yang seterusnya akan mendapatkan butiran akaun bank, bukti kelayakan peribadi dan maklumat peribadi lain mangsa.
Penipu itu menasihati mangsa supaya membatalkan polisi insurans mereka jika mereka tidak mahu yuran tertunggak itu dipotong secara automatik daripada akaun bank mereka.
Mereka diarahkan – dalam beberapa kes melalui fungsi perkongsian skrin WhatsApp – untuk memindahkan wang ke akaun bank tertentu, yang didakwa penipu sebagai langkah perlu untuk mengesahkan akaun bank mereka.
Dalam kes lain, mangsa dihalakan kepada penipu yang menyamar sebagai pegawai MAS yang memberitahu mereka bahawa akaun bank mereka telah dikaitkan dengan pengubahan wang haram, atau maklumat peribadi mereka sudah terdedah kepada penggodam.
Mereka diarah membantu siasatan dengan memindahkan wang ke akaun bank tertentu.
Mangsa juga diberitahu bahawa wang itu akan dikembalikan, tetapi sebaik sahaja wang itu dipindahkan, penipu itu hilang.
Polis dan MAS berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa NTUC Union, Income Insurance dan UnionPay tidak akan sekali-kali meminta maklumat peribadi seseorang atau pembayaran ke akaun bank privet, melalui panggilan telefon, e-mel, WhatsApp, atau mesej teks.
Sebarang permintaan sedemikian hendaklah dianggap sebagai penipuan dan dilaporkan kepada talian Income Insurance melalui 6788-1777.
MAS juga tidak akan meminta wang dipindahkan, atau kelayakan peribadi dan perbankan seseorang didedahkan.
Orang ramai dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi ScamShield dan menetapkan had transaksi yang mencukupi untuk perbelanjaan harian.
Semak tanda penipuan dengan sumber rasmi, seperti aplikasi ScamShield, atau dengan menghubungi Talian Bantuan ScamShield 24 jam, 1799.
Layari laman web, www.scamshield.gov.sg untuk maklumat lanjut tentang penipuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg