Syarikat penyedia insurans Income Insurance menyatakan bahawa pengerusinya, Encik Ronald Ong, telah mengecualikan diri apabila bank Morgan Stanley dilantik sebagai penasihat kewangan, sebagai sebahagian perjanjian baru-baru ini dengan syarikat insurans Jerman, Allianz.
Dalam satu kenyataan pada 27 Julai, syarikat insurans itu berkata 10 daripada 12 pengarahnya adalah bebas.
“Lembaga penuh termasuk semua pengarah bebas, sebulat suara meluluskan dokumen transaksi yang dimeterai Income Insurance berhubung tawaran tersebut,” kata syarikat itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas timbul beberapa persoalan mengenai pelantikan penasihat kewangan itu, lapor The Straits Times (ST).
Encik Ong dilantik sebagai pengerusi Income Insurance pada Disember 2018 dan telah berkhidmat dengan bank pelaburan Morgan Stanley selama 20 tahun pada masa itu.
Pada Februari 2023, beliau dilantik sebagai pengerusi perniagaan Asia Tenggara bank tersebut.
Pada 17 Julai, Allianz mengumumkan tawaran umum prasyarat untuk membeli 51 peratus saham Income Insurance pada harga $40.58 sesaham dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.
Allianz perlu memperoleh 54.7 juta saham untuk mencapai 51 peratus kepentingan dalam Income Insurance.
Pada masa ini, syarikat NTUC Enterprise Co-operative memiliki 77.98 juta saham atau 72.8 peratus daripada 107.2 juta saham syarikat insurans itu.
Pemegang saham minoriti memiliki 27.2 peratus saham tersebut.
Income Insurance menjelaskan bahawa jawatankuasa pemandu lembaga pengarah bagi urus niaga tersebut telah menetapkan beberapa kawal selia untuk melindungi kepentingan pemegang polisi dan pemegang saham minoriti.
Contohnya, ia menyatakan bahawa Allianz akan terus memenuhi syarat polisi sedia ada yang ditaja jamin oleh Income Insurance, dan dengan itu, ia tidak memberi kesan kepada pelanggan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg