Timbalan Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC), Encik Hsieh Fu Hua, bakal mengambil alih jawatan sebagai pengerusi majlis itu selepas Encik Peter Seah melepaskan jawatan tersebut atas sebab-sebab peribadi.

Dalam satu kenyataan pada 19 Ogos, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan bahawa Encik Seah telah meminta untuk melepaskan jawatannya sebagai pengerusi, dan kementerian itu “memutuskan untuk memenuhi permintaan itu” selepas membuat pertimbangan.

Secara berasingan, DBS Group Holdings sedang mengusahakan rancangan penggantian untuk Encik Seah, yang merupakan pengerusi bank Singapura itu selama lebih 16 tahun, menurut sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara tersebut.

Encik Seah, 79 tahun, telah membimbing bank terbesar di Singapura itu sejak beliau menyertai lembaga pengarah DBS pada 2009 dan menjadi pengerusi pada 2010, kata sumber yang enggan dikenali membincangkan perkara peribadi.

“Encik Peter Seah kekal sebagai pengerusi bukan eksekutif DBS Group Holdings,” kata bank tersebut sebagai maklum balas kepada pertanyaan media.

Sementara itu, MOM berkata:

“Pemerintah ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Seah atas khidmat bakti beliau selama bertahun-tahun sebagai pengerusi NWC sejak 2015.”

Encik Seah telah memimpin NWC dalam mengharungi tempoh ekonomi yang mencabar, termasuk pandemik Covid-19, kata MOM.

“Kepimpinan beliau memainkan peranan penting dalam membina dan mengekalkan konsensus tiga pihak yang menjadi dasar kepada sistem gaji Singapura sepanjang tempoh perkhidmatannya, sekali gus memberikan sokongan kritikal kepada pekerja kita serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Singapura,” tambah MOM.

Encik Seah juga merupakan pengerusi Singapore Airlines dan Maktab Seni Lasalle.

Beliau telah menjadi anggota Majlis Penasihat Presiden sejak 2021.

Dalam pada itu, pengerusi NWC yang baharu, Encik Hsieh, sebelum ini telah dilantik sebagai timbalan pengerusi bagi sesi 2026-27.

Kini berkhidmat sebagai pengerusi di Lembaga Pemegang Amanah Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pengarah di Lembaga Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura (GIC), Encik Hsieh mempunyai pengalaman luas merentasi sektor perniagaan, sosial dan awam, kata MOM.

“Pengalaman beliau dalam menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dan membina konsensus akan menjadi sangat berharga dalam memimpin perbincangan tiga pihak NWC yang akan datang, mengenai isu gaji,” kata kementerian itu.

Encik Hsieh sebelum ini pernah berkhidmat sebagai presiden di Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Saham SGX dan presiden di Temasek Holdings.