Kumpulan DBS menetapkan dividen sebanyak 81 sen sesaham bagi suku kedua 2026 selepas keuntungan bersihnya meningkat 9 peratus, didorong oleh pendapatan pengurusan kekayaan yang mencatat rekod.

Bayaran itu merangkumi dividen biasa 66 sen dan dividen pulangan modal 15 sen, menjadikan jumlah dividen separuh pertama 2026 sebanyak 162 sen.

Pembayaran itu dijangka menelan kos kira-kira $2.3 bilion kepada DBS, bank terbesar di Asia Tenggara dari segi aset.

Saham DBS mencecah paras tertinggi baru $75.80 sebelum ditutup pada $75.41 pada 2.03 petang.

DBS mencatat keuntungan bersih rekod $3.08 bilion bagi suku April hingga Jun, meningkat daripada $2.82 bilion setahun lalu, mengatasi unjuran penganalisis Bloomberg sebanyak $2.87 bilion.

Ketua Eksekutif (CE) DBS, Cik Tan Su Shan, berkata bank itu terus mencatat pertumbuhan struktur kukuh di pasaran utama seperti Taiwan dan India.

Ia didorong oleh kekuatan ekosistem semikonduktor, pusat data di Taiwan serta pertumbuhan golongan berpendapatan sederhana dan pengguna di India.

“Jika anda melihat enam pasaran terbesar di dunia, sebahagian besarnya di rantau kita sendiri, termasuk Hong Kong, China, Taiwan dan India. Terdapat peluang amat baik untuk terus berkembang dalam pasaran tersebut,” kata Cik Tan.

Beliau berkata perdagangan di luar Amerika Syarikat, khususnya perdagangan serantau Asia, berkembang sejak tarif Hari Pembebasan yang diperkenalkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada April 2025.

Laluan perdagangan seperti China-India dan Taiwan-India menawarkan peluang pertumbuhan besar kepada DBS.

Cik Tan yakin dengan kekuatan Singapura melalui ekosistem semikonduktor bernilai tinggi, pasaran modal yang berkembang, pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) serta peranannya sebagai hab perdagangan dunia.

Menurutnya, Singapura kekal berada pada kedudukan kukuh hasil usaha pemerintah meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi era AI serta pelaburan dalam teknologi, data dan inovasi, walaupun inflasi, harga minyak dan kadar faedah kekal sebagai risiko.

Pendapatan faedah bersih kumpulan susut 2 peratus kepada $3.58 bilion berikutan kadar faedah yang lebih rendah, manakala margin faedah bersih (NIM) merosot kepada 1.87 peratus daripada 2.05 peratus.

NIM merujuk kepada perbezaan antara pendapatan bank daripada aset yang menjana faedah seperti pinjaman dengan kos faedah yang dibayar ke atas liabiliti yang menanggung faedah seperti deposit.

Margin ini akan menyusut apabila kadar faedah menurun.

Pendapatan faedah bersih buku komersial susut 4 peratus kepada $3.48 bilion berikutan margin faedah bersih yang lebih rendah, manakala pendapatan yuran bersih meningkat 25 peratus kepada $1.46 bilion, didorong oleh pengurusan kekayaan.

Namun, pendapatan yuran bersih dan pendapatan bukan berasaskan faedah lain bagi buku komersial masing-masing meningkat 25 peratus ($1.46 bilion) dan 30 peratus ($681 juta), manakala pendapatan dagangan pasaran naik 12 peratus ($469 juta), dipacu pengurusan kekayaan, jualan perbendaharaan serta turun naik pasaran.

Cik Tan berkata aset di bawah pengurusan (AUM) DBS melepasi setengah trilion dolar buat kali pertama.

Beliau menambah bahawa kedudukan kewangan, mutu aset dan modal yang kukuh membolehkan bank itu terus merebut peluang pertumbuhan dan memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang saham.

Ketika ditanya mengenai penilaian saham DBS, Cik Tan berkata kenaikan saham bank Singapura mungkin mencerminkan pelabur yang mengalihkan modal daripada saham teknologi dan AI, mencari pendedahan kepada dolar Singapura, serta memilih syarikat yang menawarkan dividen menarik dan pertumbuhan struktur.

Beliau berkata DBS terus menumpukan pengukuhan perniagaan teras, mengembangkan segmen pulangan tinggi seperti pengurusan kekayaan, pembayaran dan perbankan urus niaga, sambil memanfaatkan AI untuk meningkatkan kecekapan dan mengekalkan pertumbuhan jangka panjang.

Berdasarkan prestasi kukuh separuh pertama pada 2026, DBS menaikkan unjuran bagi keseluruhan tahun, termasuk menjangkakan jumlah pendapatan melebihi paras 2025.

Pendapatan faedah bersih kumpulan kini dijangka menghampiri paras 2025, berbanding jangkaan sebelumnya yang sedikit lebih rendah.

DBS ialah bank pertama di Singapura mengumumkan keputusan kewangan suku kedua, manakala UOB dan OCBC dijadual mengumumkan keputusan pada 7 Ogos.