Singapura dan Korea Selatan bersetuju untuk bekerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, kemampanan dan teknologi pertahanan, selaras dengan usaha kedua-dua negara meningkatkan hubungan dua hala.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, secara rasmi melancarkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara di pejabat presiden di Seoul, pada 1 November.
Kerjasama strategik itu merangkumi lapan perjanjian, termasuk satu pakatan untuk menubuhkan koridor penghantaran hijau dan digital.
Di bawah pakatan tersebut, kedua-dua negara akan bekerjasama bagi menyokong peralihan sektor maritim kepada bahan api dengan pelepasan gas rumah hijau sifar atau hampir sifar, serta mempercepatkan proses pendigitalan.
Dalam sidang media selepas pelancaran kerjasama itu, Encik Wong menekankan bahawa peningkatan hubungan ini berlaku pada waktu penting – iaitu ketika Singapura dan Korea Selatan menyambut 50 tahun hubungan diplomatik, lapor The Straits Times.
Beliau berkata, ketika kedua-dua negara menjalin kerjasama pada 1975, ekonomi sejagat masih dalam proses pemulihan daripada ketidakstabilan.
Namun, Korea Selatan dan Singapura terus berusaha dan berjaya muncul sebagai ‘Harimau Asia’.
“Kami telah mengubah ekonomi masing-masing – setiap satu menempuh laluan sendiri, tetapi sentiasa bekerjasama rapat demi manfaat bersama,” kata Encik Wong.
“Hari ini, kerjasama kami lebih kukuh daripada sebelumnya.”
Salah satu perjanjian utama daripada kerjasama strategik itu ialah kedua-dua negara akan bekerjasama dalam penyelesaian tenaga baru seperti teknologi ammonia, hidrogen dan tenaga nuklear awam.
Usaha ini bukan sahaja akan menyokong matlamat hijau masing-masing, malah turut dijadikan model bagi kerjasama serantau lebih luas, kata Encik Wong.
Kedua-dua negara juga akan saling berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam perkhidmatan awam masing-masing, serta memperdalam kerjasama dalam bidang lain seperti keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).
Encik Wong berkata kedua-dua negara akan bekerjasama dalam aspek keselamatan dan tadbir urus AI bagi membina keyakinan terhadap teknologi itu, serta memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat serta masyarakat.
Presiden Korea Selatan itu pula berkata kedua-dua pemimpin menegaskan hubungan cemerlang Singapura-Korea Selatan, dan kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama bagi menghadapi perubahan dalam ekonomi dan keselamatan.
Presiden Lee menambah beliau berharap Singapura akan terus melabur di Korea Selatan serta perniagaan negara tersebut.
Beliau turut menyatakan Korea Selatan akan menyokong peranan Singapura sebagai pengerusi Asean pada 2027 dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada 2030.
Terdapat perancangan bagi lebih banyak pertukaran budaya, dengan kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh dialog dan kerjasama antara institusi dalam sektor seni, budaya dan sukan.
Pertukaran sebegini akan memperdalam kefahaman dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara, kata Encik Wong.
Sebagai rakan strategik, kedua-dua negara juga akan bekerjasama untuk menggalak keamanan dan kemakmuran serantau.
Kedua-dua pihak akan melancarkan projek bersama di bawah Program Kerjasama Singapura dan Dana Kerjasama Asean-Korea bagi menyokong transformasi digital Asean.
Sebagai penyelaras negara bagi hubungan ekonomi Asean-Korea, Singapura turut menantikan rundingan untuk menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas Asean-Korea pada awal 2026, kata Encik Wong.
Lawatan ke Seoul ini merupakan lawatan rasmi pertama Encik Wong ke Korea Selatan sebagai Perdana Menteri.
Lawatan ini bertepatan dengan Sidang Puncak Apec di Gyeongju, di mana beliau turut menyertai Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November.
Encik Wong menekankan bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Korea-Singapura, yang mula berkuat kuasa pada 2006, merupakan perjanjian seumpamanya yang pertama buat Korea Selatan dengan mana-mana negara Asia.
Perjanjian ini telah menjadi asas kukuh bagi perkembangan hubungan ekonomi kedua-dua negara.
Kini, kedua-dua negara tergolong antara 10 rakan dagang teratas masing-masing, dengan aliran pelaburan yang terus berkembang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg