Polis Trafik (TP) akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan seperti membuat pusingan ‘U’ secara haram dan memotong garisan putih berkembar.
Mereka akan dikesan menerusi Kamera Penguatkuasaan Kesalahan Trafik (TVEC) baru, yang telah dipasang di 11 lokasi sejak September, lapor The Straits Times.
Ini adalah sebahagian daripada uji cuba kamera tersebut yang akan beroperasi menjelang suku pertama 2026, kata TP pada 30 Oktober dalam taklimat media di ibu pejabat mereka di Ubi Avenue 3.
Kamera tersebut, yang ditanda dengan jalur oren dan putih, menggunakan analitik video dan pengecaman plat nombor automatik untuk merakam kesalahan seperti pelanggaran papan tanda arah dan berhenti di dalam kotak kuning.
Apabila pemandu melanggar peraturan tersebut, kamera akan merakam imej atau video dan merekod nombor plat kereta pemandu, waktu dan jenis kesalahan.
Pada September, bulan pertama percubaan, lebih 6,000 kesalahan lalu lintas dikesan di 11 lokasi yang dipilih berdasarkan maklum balas orang ramai.
Pelanggaran paling biasa adalah memotong garisan putih berkembar, kata TP.
Sebelas lokasi itu adalah Bidadari Park Drive, berhampiran Blok 212B; Dunearn Road, sebelum Shelford Road; Simei Street 5 menuju Simei 3, berhampiran Blok 244; Tampines Avenue 4 ke arah Tampines Avenue 1, di simpang Tampines Central 5; depan Pusat Beli-belah Queensway.
Ia juga termasuk di Bishan Street 14, berhampiran Blok 533; Jervois Lane di Tanglin; Tampines Street 91, bertentangan Blok 915; Tanjong Katong Road menuju East Coast Parkway di persimpangan Wareham Road; Hillcrest Road, berhampiran Sekolah Rendah Perempuan Raffles; dan West Coast Way menuju Ekpreswe Ayer Rajah, sebelum West Coast Grove
Secara purata, setiap kamera mengesan sekitar 20 kesalahan setiap hari.
Garisan putih berkembar yang berterusan di jalan raya bertujuan memisahkan aliran trafik pada arah yang bertentangan.
Membuat pusingan ‘U’ atau pusingan kanan tidak dibenarkan di jalan raya dengan tanda sedemikian.
Pada Februari, seorang pemandu dijatuhi hukuman penjara tiga minggu kerana berlanggar dengan penunggang basikal selepas memandu merentasi empat lorong dan memotong garisan putih berkembar di simpang berhampiran Sims Avenue East.
Penunggang basikal itu yang menunggang di lorong pertama, patah tulang dan luka.
Pemandu yang memotong garisan putih berkembar boleh didenda $150 hingga $200, bergantung pada jenis kenderaan.
Mereka yang membuat pusingan ‘U’ secara haram boleh didenda $100 hingga $150.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg