Kehadiran pengunjung yang mula masuk secara beransur-ansur pada pagi 5 Disember memberikan isyarat permulaan yang positif bagi pameran tiga hari, Halal International 2025, di Dewan 5A Singapore Expo.
Menyifatkan suasana pagi hari pertama itu sebagai “tidak terlalu buruk untuk pagi Jumaat”, Pengurus Komunikasi Media MegaXpress International Pte Ltd, Cik Reny Delfina Hamzah, berkata kebanyakan pengunjung awal merupakan warga emas, dan ini merupakan satu trend biasa bagi pembukaan pada hari bekerja.
Dianjurkan oleh MegaXpress International, acara tahunan itu yang diadakan dari 5 hingga 7 Disember, mulai 10 pagi hingga 10 malam, mengetengahkan lebih 200 reruai yang menawarkan makanan halal, fesyen Muslimah, produk kecantikan, perkhidmatan gaya hidup dan program kemasyarakatan.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Reny menjelaskan, aliran pengunjung itu “seperti biasa” pada hari bekerja.
“Ia juga pagi Jumaat, jadi kebanyakan pengunjung pada waktu pagi ialah golongan warga emas,” kata beliau.
Apabila ditanya mengenai suasana separuh hari pertama 2025 berbanding 2024, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat perbandingan kerana “acara masih berlangsung”.
Reruai makanan kekal sebagai tarikan utama pengunjung dalam beberapa jam pertama.
Cik Reny berkata trend itu konsisten dengan penganjuran terdahulu, dengan beberapa reruai menjadi tumpuan awal setiap tahun.
Antaranya ialah reruai Bonda Rozita yang “sentiasa menjadi antara pilihan utama pengunjung”.
Walaupun masih terlalu awal untuk mendapatkan maklum balas rasmi daripada vendor atau pengunjung, Cik Reny berkata, pemerhatian awal sejajar dengan strategi pameran 2025 untuk memberi tumpuan kepada produk dengan permintaan tinggi.
Menjelang waktu malam dan hujung minggu, beliau menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung, terutama bagi segmen selebriti.
“Kami menjangkakan selebriti seperti Fazura dan Noraniza Idris akan menarik lebih ramai pengunjung untuk hari pertama,” kata Cik Reny.
Dengan hanya berbaki dua hari lagi, pihak penganjur akan menilai perjalanan hari pertama sebelum membuat sebarang penambahbaikan.
“Kami perlu tunggu sehingga penghujung hari sebelum menentukan apa yang perlu diperbaiki untuk hari-hari seterusnya,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg