Senarai tahunan 100 syarikat yang berkembang paling pesat di Singapura pada 2025 menunjukkan kebanyakannya adalah dalam bidang teknologi maklumat (IT), kewangan dan hartanah.
Sekitar 40 peratus syarikat dalam senarai ini yang disusun oleh The Straits Times (ST) dan syarikat pengumpulan data sejagat Statista, menawarkan perkhidmatan seperti pengurusan kekayaan, ruang kediaman bersama, dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Senarai yang dikeluarkan pada 21 Januari itu turut merangkumi syarikat dalam sektor e-dagang, hospitaliti, pembinaan dan runcit.
Senarai Syarikat Paling Pesat Berkembang di Singapura menampilkan 100 perniagaan tempatan yang mencatat pertumbuhan hasil yang ketara antara 2020 dan 2023, lapor ST.
Syarikat yang dipertimbangkan mesti merupakan syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Singapura, dengan hasil sekurang-kurangnya $150,000 pada 2020 dan $1.5 juta pada 2023.
Mendahului senarai 2025 ialah penasihat kewangan berlesen, PFPFA, yang menyaksikan pendapatannya meningkat lebih 48 kali ganda daripada $500,000 pada 2020 kepada lebih $24.3 juta pada 2023.
Antara 2020 dan 2023, kadar faedah yang tidak stabil dan kesan pandemik Covid-19 meningkatkan permintaan untuk perancangan kewangan.
Ditubuhkan pada 2020 dengan hanya empat pekerja, PFPFA kini mempunyai 235 kakitangan yang menawarkan perkhidmatan pelaburan, penyelesaian insurans, serta perancangan harta pusaka dan perniagaan.
Endowus, platform pengurusan kekayaan digital, berada pada kedudukan 10 teratas buat kali pertama.
Ia juga diberi kuasa untuk melabur dana dari Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan Skim Persaraan Tambahan (SRS).
Pendapatannya meningkat lebih 13 kali ganda kepada $8.8 juta antara 2020 dan 2023.
Pandemik telah mempercepatkan penggunaan pelaburan digital, kata Ketua Eksekutif Endowus, Encik Gregory Van.
Ini disebabkan akses kepada penasihat kewangan dan bank ketika itu dianggap terhad.
Pelabur di Singapura juga mula mengurus kewangan sendiri dan menetapkan matlamat pelaburan.
Ditubuhkan pada 2017, Endowus kini mempunyai lebih 100,000 pelanggan dengan keuntungan bersih melebihi $500 juta.
Selain ejen hartanah seperti Propseller, ERA Realty Network, dan Huttons, dua syarikat kediaman bersama, Casa Mia Coliving dan The Assembly Place (TAP), muncul dalam 10 perniagaan teratas pada 2025.
Kediaman bersama ialah konsep perumahan baru dengan ruang berkongsi dan bilik peribadi untuk pupuk sifat kemasyarakatan dan penjimatan kos.
Casa Mia Coliving, yang menyasarkan profesional muda, meningkatkan pendapatannya 27 kali ganda kepada $5.5 juta, manakala TAP mencatat pendapatan lebih $15 juta, naik 15 kali ganda antara 2020 dan 2023.
Sebanyak 18 syarikat dalam sektor IT dan perisian tersenarai pada 2025. Dua daripadanya, Focus Digital Technology Group dan Wiz.AI, muncul buat pertama kali, menduduki tempat kedua dan ketiga.
Focus Digital Technology, yang menyediakan perkhidmatan pengurusan infrastruktur awan dan keselamatan siber, meningkatkan pendapatannya lebih 31 kali ganda, daripada $184,000 pada 2020 kepada lebih $6 juta pada 2023.
Semakin banyak perniagaan menyedari keperluan sokongan awan dan keselamatan siber untuk operasi yang cekap dan melindungi data sensitif daripada ancaman siber. Ini juga memastikan kesinambungan perniagaan dan pematuhan peraturan.
Penyedia perkhidmatan kini mula menggunakan AI untuk menjimatkan kos dan menempatkan semula kakitangan ke peranan bernilai tinggi.
Syarikat Wiz.AI, yang menggunakan AI generatif dan model bahasa besar untuk mencipta chatbot seperti manusia bagi automasi interaksi pelanggan, adalah antara yang menyaksikan peningkatan permintaan.
Antara 2020 dan 2023, Wiz.AI meningkatkan pendapatannya hampir 27 kali ganda kepada $12.8 juta.
Ditubuhkan pada 2020 dengan 68 pekerja, syarikat itu mempunyai 320 kakitangan menjelang 2024, menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dalam sektor perbankan, insurans, hospitaliti dan e-dagang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg