Kemahiran memulakan dan mengendalikan perniagaan sememangnya wujud dalam masyarakat Melayu/Islam, kata Pengarah Eksekutif, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Nadiah Hassan.
Namun, cabaran bagi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta SME lebih kecil, atau mikro-SME, adalah untuk mempertingkat dan mengembangkan perniagaan masing-masing, tambahnya.
Memberikan perincian lanjut, Cik Nadiah memberikan contoh perniagaan makanan dan minuman (F&B) sebagai mikro-SME, yang terjejas teruk semasa pandemik Covid-19.
“Apabila Covid-19 melanda, terdapat beberapa ahli kami yang merujuk kepada DPPMS untuk mendapatkan bantuan.
“Kami sarankan mereka untuk mencuba khidmat penghantaran makanan atau menggunakan platform seperti foodpanda bagi memasarkan produk mereka.
“Namun, ramai yang berfikiran tradisional dan menolak, dengan alasan makanan yang dihantar kurang memuaskan dan tidak sedap.
“Tetapi saya kata, sebagai peniaga, anda perlu cuba cara lain, kalau tidak, susah nanti,” kongsi Cik Nadiah.
Beliau berkongsi demikian semasa ditemu bual dalam podcast berita dan hal ehwal semasa Berita Harian, NoTapis BHerbual, pada 27 Mei.
Menurut Cik Nadiah, ramai peniaga yang tidak sedar bahawa mereka boleh memanfaatkan latihan, sumber, rangkaian dan bimbingan yang disediakan DPPMS – termasuk membantu mereka mengubah pendekatan perniagaan ke arah yang lebih menguntungkan.
Selain itu, ada juga peniaga yang takut untuk mencari alternatif bagi memastikan perniagaan mereka lebih mampan.
Cabaran lain seperti simpan kira-kira (bookkeeping) dan pengurusan kewangan turut menjadi halangan utama yang mengekang pertumbuhan perniagaan mikro.
“Ada juga ahli DPPMS yang merungut apabila permohonan geran daripada pemerintah tidak diluluskan.
“Apabila kami semak semula, rupanya ada yang tidak mempunyai bookkeeping yang betul. Ada yang masih gunakan ‘buku 555’ untuk mencatat maklumat itu,” kata Cik Nadiah.
Salah satu cara mengelakkan masalah itu, katanya, adalah dengan mendapatkan bantuan asas dalam perancangan kewangan dan perbelanjaan – antara kemahiran yang ditawarkan dalam program DPPMS.
Berkongsi sentimen serupa, Presiden DPPMS, Encik Encik Abdul Malik Hassan, berkata perlu ada perubahan dari segi pemikiran peniaga kecil jika mereka ingin melebarkan sayap.
“Bukan sahaja peniaga dari rumah (HBB), malah segelintir penjaja makanan juga masih berfikir bahawa selagi mereka boleh menampung kos harian mereka, itu sudah memadai.
“Sebelum kami dapat menghulurkan bantuan, mereka perlu mempunyai azam dan keinginan untuk memajukan perniagaan dan memandang ke hadapan,” ujar Encik Abdul Malik.
Menurutnya, dengan menyertai program anjuran Akademi DPPMS, para peniaga dapat membina kemahiran yang relevan untuk berdepan cabaran landskap perniagaan masa kini, sambil membentuk tenaga kerja yang bersedia menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg