Agensi penarafan global S&P berkata pada 5 Disember bahawa ia telah meletakkan Singapore Post (SingPost) dalam status CreditWatch negatif, berikutan perubahan dalam strategi masa depannya dan penjualan perniagaannya di Australia.
Pada 2 Disember, SingPost mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani perjanjian untuk menjual perniagaan mereka di Australia pada harga A$1 bilion ($870 juta).
Penjualan itu adalah sebahagian daripada kajian strategik yang dijalankan awal 2024 untuk mencari cara bagi meningkatkan nilai perniagaan dan memberi manfaat kepada pemegang saham, lapor The Business Times.
S&P percaya bahawa penjualan itu akan menjadi “transformasi” bagi SingPost dan menimbulkan ketidakpastian terhadap strategi masa depannya.
S&P menyatakan: “Dalam empat tahun kebelakangan ini, SingPost telah melabur dalam industri logistik di Australia untuk mengurangkan penurunan struktur dalam sektor pos.”
Perniagaan SingPost di Australia kini menyumbang 58 peratus daripada jumlah hasil dalam separuh pertama tahun kewangan 2025.
Segmen ini merangkumi perkhidmatan logistik pihak keempat, penyelesaian logistik pihak ketiga seperti pengangkutan dan pengedaran, penghantaran kiriman cepat, serta perkhidmatan pergudangan.
Kehilangan sumber pendapatan utama ini menimbulkan ketidakpastian mengenai strategi masa depan dan sumbangan pendapatan SingPost, kata S&P.
Penjualan perniagaan SingPost di Australia juga akan mengecilkan skala perniagaan syarikat.
Namun, transaksi itu dijangka memberi keuntungan bersih $312.1 juta dan tunai $682.8 juta, yang boleh digunakan untuk membayar hutang dalam mata wang Australia sebanyak A$544.9 juta ($469.1 juta).
Sebahagian daripada hasil jualan SingPost kemungkinan akan digunakan untuk dividen khas, bukannya untuk mengurangkan hutang, katanya.
Agensi itu juga menganggarkan nisbah hutang-ke-Ebitda (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) SingPost akan turun ke bawah dua kali ganda selepas penjualan selesai, jauh lebih baik daripada anggaran sebelumnya yang lebih daripada tiga kali ganda bagi tahun kewangan 2025 dan 2026.
S&P turut menyatakan bahawa dasar leveraj (keumpilan) dan alokasi modal masa depan SingPost kelihatan tidak pasti.
Toleransi leveraj jangka panjang syarikat tersebut juga masih belum jelas.
Agensi itu menambah bahawa terdapat ketidakpastian mengenai penggunaan hasil jualan SingPost, walaupun syarikat terus berusaha menjual aset bukan teras.
Saham SingPost turun 1.5 sen atau 2.5 peratus, kepada 57.5 sen pada 6 Disember, selepas pengumuman tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg